Friday, 10, October, 2025
Utama Politik RM670,000 ganti rugi: Saifuddin fail rayuan kes fitnah Sanusi

RM670,000 ganti rugi: Saifuddin fail rayuan kes fitnah Sanusi

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar yang mendapati beliau bersalah memfitnah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung dakwaan berkaitan unsur nadir bumi (REE) dan peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).

Dalam kenyataan media pada Ahad, Saifuddin memaklumkan bahawa beliau telah meneliti keputusan tersebut bersama pasukan guamannya dan mendapati terdapat asas undang-undang yang kukuh untuk mengemukakan rayuan.

“Saya telah arahkan peguamcara saya untuk segera memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan. Saya juga akan mohon penangguhan pelaksanaan keputusan berkenaan sementara menunggu proses rayuan selesai,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak mahkamah atas perhatian dan pertimbangan sepanjang prosiding berlangsung, serta menegaskan bahawa kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini adalah atas dasar tanggungjawab terhadap isu berkepentingan awam.

“Saya akan terus berpegang pada prinsip keterbukaan, integriti dan kebertanggungjawaban sebagai asas penting dalam amalan demokrasi,” katanya.

Mahkamah Tinggi Alor Setar sebelum ini memutuskan bahawa kenyataan Saifuddin yang dibuat semasa kempen Pilihan Raya Negeri Kedah pada Julai 2023 adalah berunsur fitnah dan telah menjejaskan reputasi Muhammad Sanusi⁽¹⁾.

Hakim Dr John Lee Kien How @ Mohamad Johan Lee memerintahkan Saifuddin membayar ganti rugi am sebanyak RM600,000 dan kos guaman RM70,000 kepada Sanusi. Selain itu, mahkamah turut mengarahkan defendan membuat permohonan maaf secara terbuka dalam sebuah akhbar berbahasa Melayu dan sebuah akhbar berbahasa Inggeris dalam tempoh 14 hari, tertakluk kepada kelulusan plaintif terlebih dahulu⁽¹⁾.

Mahkamah juga mengekalkan perintah injuksi kekal yang melarang Saifuddin atau ejennya daripada mengulangi kenyataan berkaitan dakwaan mencuri REE dan penyelewengan dana MARRIS pada masa akan datang.

Kes saman fitnah itu difailkan oleh Muhammad Sanusi pada 3 Ogos 2023 selepas mendakwa Saifuddin membuat kenyataan berunsur fitnah dalam dua program politik di Guar Chempedak, Yan, yang mengaitkan beliau dengan salah guna dana dan kecurian sumber negeri.

Saifuddin diwakili oleh pasukan peguam Navpreet Singh, William Leong dan Sakina Siraj, manakala Sanusi diwakili oleh Wan Rohimi Wan Daud, Yusfarizal Yussof, Mohd Faizi Che Abu dan Nur Iffah Hizwani Omar.

Rayuan dijangka difailkan dalam tempoh terdekat dan proses perundangan seterusnya akan menentukan sama ada keputusan Mahkamah Tinggi itu kekal atau sebaliknya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com