MELAKA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dijadualkan merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke-19 di sebuah hotel terkemuka di sini, sekali gus membuka tirai perbincangan strategik peringkat tinggi yang menghimpunkan pemimpin serantau dalam usaha memperkukuh keselamatan rantau ini.
Majlis pembukaan yang berlangsung pada jam 4.30 petang turut menyaksikan ucapan daripada Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn serta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail selaku Pengerusi AMMTC tahun ini.
Mesyuarat lima hari yang berlangsung dari 8 hingga 12 September itu menghimpunkan delegasi dari negara anggota ASEAN, termasuk Timor-Leste, serta rakan dialog seperti China, Jepun dan Korea Selatan.
Siri rundingan persediaan dan sesi pleno dijadualkan bagi memperincikan pendekatan bersama dalam membanteras jenayah rentas sempadan yang kian kompleks.
Saifuddin sebelum ini menyifatkan AMMTC bukan sekadar siri mesyuarat tahunan, sebaliknya merupakan platform strategik yang membolehkan negara-negara ASEAN menyelaras dasar, bertukar pandangan dan memperkukuh kerjasama dalam menangani ancaman jenayah seperti pemerdagangan manusia, penyeludupan dadah dan jenayah siber.
“Melaka menjadi tumpuan serantau minggu ini apabila menteri-menteri dan pegawai kanan keselamatan berhimpun bagi membincangkan langkah konkrit ke arah rantau yang lebih selamat dan stabil,” katanya.
AMMTC ke-19 ini juga diadakan bersempena Kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia yang bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, mencerminkan komitmen negara untuk membina komuniti ASEAN yang lebih makmur dan selamat.
Malaysia, sebagai tuan rumah, dilihat memainkan peranan penting dalam memacu agenda keselamatan serantau, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai pemimpin aktif dalam ASEAN.
Mesyuarat ini dijangka menghasilkan resolusi bersama yang akan menjadi asas kepada tindakan kolektif dalam men