PUTRAJAYA: Kecekapan tadbir urus kerajaan serta pengurusan ekonomi yang mantap membolehkan Malaysia menurunkan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, langkah itu bukan sahaja mengurangkan beban rakyat malah menjadikan Malaysia antara segelintir negara yang mampu melaksanakan penyasaran subsidi secara berkesan walaupun berdepan kekangan fiskal.
“Alhamdulillah, pengumuman penurunan harga RON95 mendapat reaksi positif daripada rakyat. Seperti biasa, ada juga pandangan berbeza dan cadangan yang kita akan teliti dari semasa ke semasa.
“Kita perlu faham, hanya beberapa negara mampu melaksanakan subsidi bersasar bagi membantu rakyat,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan, di sini, hari ini.
Beliau menegaskan, kuota 300 liter subsidi RON95 setiap individu ditetapkan bagi memastikan pelaksanaan dasar itu adil dan tidak membebankan mana-mana pihak.
Anwar turut menjelaskan bahawa hasil penjimatan tidak digunakan untuk tujuan membazir, sebaliknya dikembalikan kepada rakyat menerusi kebajikan, latihan serta peningkatan perkhidmatan kerajaan.
“Semalam kita berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung kualiti perkhidmatan termasuk kelulusan peruntukan tambahan bagi latihan, pengajian pascasiswazah serta pembangunan kepakaran baharu.
“Sejak tahun lalu, kerajaan menyediakan ratusan juta ringgit tambahan supaya jabatan mempunyai kepakaran sendiri terutama dalam transformasi digital dan kecerdasan buatan (AI),” katanya.
Perdana Menteri turut menekankan komitmen kerajaan terhadap sektor penting seperti pendidikan dan kesihatan termasuk menambah jumlah doktor serta jururawat di fasiliti awam.
“Moga Allah SWT memberkati usaha ini, menjamin kestabilan politik dan keamanan negara, serta mengangkat martabat Malaysia sebagai sebuah negara berjaya di dunia dan akhirat,” katanya.