Wednesday, 1, October, 2025
Utama Ekonomi Kerajaan sedia pertimbang rayuan nelayan, pekebun mohon subsidi RON95

Kerajaan sedia pertimbang rayuan nelayan, pekebun mohon subsidi RON95

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kerajaan akan meneliti rayuan nelayan, pekebun dan pengusaha bot yang menggunakan petrol RON95 tetapi tidak memiliki lesen atau pendaftaran kenderaan bermotor di bawah inisiatif BUDI MADANI (BUDI95).

Beliau berkata, meskipun bantuan serta elaun khas sudah disalurkan kepada golongan berkenaan, terdapat kes tertentu yang masih belum diliputi skim sedia ada.

“Ada kes melibatkan penggunaan perahu. Nelayan dan pekebun memang sudah menerima elaun khas selain bantuan diesel. Tetapi kalau benar mereka menggunakan petrol, mereka boleh buka portal Kementerian Kewangan untuk kemukakan rayuan, kerajaan akan bantu.

“Katakan dia bukan nelayan tetapi guna perahu atau bot di Sarawak, Sabah atau Kelantan, menggunakan RON95 tanpa lesen atau pendaftaran. Hal-hal seperti ini boleh dipertimbangkan kerana bilangannya tidak ramai. Jika benar mereka guna RON95, saya jamin kerajaan akan membantu,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan, di sini, hari ini.

Pada Isnin lalu, kerajaan mengumumkan harga petrol RON95 diturunkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter bermula 30 September ini untuk rakyat tempatan tanpa mengira tahap pendapatan.

Bagi bukan warga negara, harga RON95 ditetapkan pada RM2.60 seliter bermula tarikh sama.

Melalui pelaksanaan BUDI95, setiap rakyat Malaysia layak menikmati subsidi sehingga 300 liter sebulan, manakala pemandu e-hailing menerima kuota tambahan bagi memastikan kelangsungan pekerjaan mereka.

Dengan pemansuhan subsidi pukal, kerajaan mengunjurkan BUDI95 dapat menjimatkan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun.

Penjimatan tersebut akan disalurkan semula untuk memperkukuh bantuan bersasar termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com