KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) tiba di Sabah hari ini bagi memulakan lawatan rasmi dua hari melibatkan siri program politik dan kepimpinan.
Ketibaan beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada petang ini disusuli dengan tiga program rapat umum dan himpunan Keadilan sempena 27 tahun gerakan Reformasi, masing-masing berlangsung di Inanam, Tawau dan Sandakan.
Program pertama dijadualkan berlangsung pada jam 3 petang di Dewan Pisompuruan, Kampung Kobuni, Inanam, sebelum Anwar bergerak ke Tawau untuk menghadiri program kedua pada 6.30 petang di Pusat Komuniti Desa, Merotai Besar.
Hari pertama lawatan beliau akan ditutup dengan program ketiga pada jam 9.30 malam bertempat di Dewan Yu Yuan, Sandakan.
Bagi hari kedua esok, jadual Anwar bermula seawal 8 pagi dengan menghadiri Majlis Sarapan Mesra Wira Samudera di Kompleks Kuarters Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Taman Samudera, Sandakan.
Sejurus selepas itu pada jam 9.30 pagi, beliau akan menyertai Majlis Jelajah Wira MADANI dan Sambutan Ulang Tahun Ke-20 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang diadakan di Kompleks APMM Zon Maritim Sandakan.
Lawatan dua hari Perdana Menteri ke Negeri di Bawah Bayu itu akan berakhir dengan penerbangan beliau dari Sandakan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Batu Berendam, Melaka.