SUNGAI PETANI: Bermula 30 September ini, syarikat pengangkutan yang masih menunggu fleet card di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dibenarkan membuat tuntutan bayaran balik tunai bagi pembelian petrol RON95.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata langkah itu dilaksanakan bagi memastikan syarikat tidak terbeban membeli petrol pada harga pam tanpa subsidi sekitar RM2.60 seliter berbanding harga subsidi RM2.05 seliter.
Menurutnya, kemudahan bayaran balik ini hanya meliputi pembelian antara 30 September hingga 31 Oktober 2025 atau sehingga tarikh fleet card diterima, bergantung kepada mana yang lebih awal.
“Permohonan hanya layak bagi syarikat yang telah berdaftar dan memohon fleet card sebelum atau pada 31 Oktober ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Jelajah Karnival KPDN 2025 dan Kempen Beli Barangan Malaysia Zon Utara, di sini, hari ini.
Beliau berkata sehingga 25 September lalu, seramai 5,233 syarikat dengan 12,955 kenderaan di seluruh negara sudah mendaftar di bawah SKPS bagi menikmati subsidi petrol RON95.
Katanya lagi, permohonan tuntutan boleh dibuat melalui platform rasmi SKPS di pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my dengan setiap tuntutan perlu disertakan resit pembelian RON95 sebagai bukti.
“Bayaran balik akan dikreditkan terus ke akaun bank syarikat oleh Kementerian Kewangan (MOF) dalam tempoh 15 hari bekerja selepas semakan selesai dibuat oleh pentadbir SKPS di KPDN,” jelasnya.
Armizan turut menegaskan, pelaksanaan SKPS kekal menyasarkan 21 kategori kenderaan di bawah sektor pengangkutan awam dan barangan dengan harga subsidi RM2.05 seliter.
Bagaimanapun, katanya, jumlah kuota mengikut jenis kenderaan masih diperincikan dan akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
“Kerajaan memahami kebimbangan syarikat yang terpaksa menanggung kos tambahan akibat kelewatan menerima fleet card. Oleh itu, bayaran balik tunai ini adalah penyelesaian sementara,” katanya.
Beliau menegaskan, kerajaan komited memastikan tiada pihak yang layak terpinggir sepanjang tempoh peralihan dan proses tuntutan disediakan secara mudah, telus serta cepat.
Dalam pada itu, beliau menggesa syarikat pengangkutan awam dan barangan yang belum mendaftar supaya segera berbuat demikian agar tidak ketinggalan menikmati subsidi petrol RON95.