MELAKA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Kerajaan MADANI tidak pernah menentang Islam, sebaliknya menolak tuduhan liar yang dilemparkan pembangkang yang didakwanya memperalatkan agama demi meraih keuntungan politik.
Berucap pada sambutan ulang tahun ke-27 Reformasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini, Anwar berkata tindakan segelintir pemimpin pembangkang melabel kerajaan dengan kata-kata kesat dan dakwaan tidak berasas jelas bercanggah dengan nilai Islam itu sendiri.
“Saya jarang ulas orang, tapi bila dengar seorang Ahli Parlimen kata ‘maruah kita sudah rosak’, saya hendak tanya, masa mereka perintah dulu, PAS ada dalam kerajaan, judi bertambah atau tidak? Jangan bercakap ikut nafsu, berlapik dengan agama tetapi hakikatnya bercanggah,” katanya.
Menurut beliau, kritikan yang dibuat dengan tujuan memperbaiki akhlak selaras dengan gagasan MADANI adalah dialu-alukan, tetapi kerajaan menolak keras tuduhan kononnya bersifat anti-Islam.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi PKR Melaka, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh.
Anwar turut membandingkan rekod pentadbiran Perikatan Nasional (PN) yang menurutnya gagal mengangkat agenda Islam, malah menambah lesen khas nombor ramalan.
“Bandingkan kerajaan MADANI dengan PN. Program Islam apa mereka jalankan di Kementerian Pendidikan? Judi mereka tambah sampai 22 kali cabutan. PAS tidak wajar kritik kerana semasa bersama kerajaan, merekalah yang meluluskan kenaikan itu,” ujarnya.
Beliau menegaskan, perjuangan Reformasi sejak dahulu mengajar rakyat untuk menentang rasuah berasaskan fakta, bukan menuduh orang lain kafir atau munafik tanpa bukti.
“Kita ajar keberanian untuk lawan rasuah, bukan guna agama untuk menipu rakyat,” tegasnya sambil menambah bahawa kerajaan MADANI akan terus menzahirkan nilai Islam melalui pentadbiran yang adil, bersih dan membela rakyat.
Menyentuh aspek integriti, Anwar menekankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberikan kebebasan penuh untuk bertindak tanpa campur tangan politik.
“Kalau ada menteri, timbalan menteri atau sesiapa sahaja dalam kerajaan terlibat rasuah, kita tidak akan lindungi. Harta yang dicuri mesti dikembalikan kepada rakyat,” katanya.
Selain itu, Perdana Menteri menegaskan kerajaan komited memperkukuh perpaduan dengan menolak politik kebencian perkauman, serta memastikan pembangunan seimbang di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, termasuk menaik taraf sekolah daif dan mempercepat pelaksanaan projek infrastruktur asas.
Anwar turut menyatakan bahawa pelaburan strategik, terutama dalam sektor semikonduktor di Pulau Pinang, Sarawak dan Sabah, akan dipacu bagi menjadikan Malaysia pemain utama dalam teknologi baharu di rantau ini.