KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan menerima persembahan cadangan Belanjawan 2026 daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Bukit Tunku, di sini.
Menurut hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, pembentangan ringkas itu diadakan menjelang sesi pembentangan rasmi Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, esok.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mempersembahkan ringkasan isi utama serta hala tuju Belanjawan MADANI Keempat yang memberi tumpuan kepada usaha membela rakyat, memperkukuh ekonomi dan memperteguh asas negara yang inklusif serta berdaya tahan.
Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Perdana Menteri dijadual membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 pada jam 4 petang esok.
Perbahasan di Peringkat Dasar akan dijalankan selama lapan hari sebelum sesi penggulungan oleh kementerian bermula 29 Oktober hingga 4 November, diikuti perbahasan di Peringkat Jawatankuasa dari 5 hingga 27 November untuk kelulusan Dewan Rakyat.
Belanjawan 2026 dijangka memperincikan strategi kerajaan dalam menyeimbangkan tanggungjawab fiskal dengan langkah memperkukuh kesejahteraan rakyat dan daya saing ekonomi negara.