Friday, 17, May, 2024
Utama Ekonomi Saiz aset GLIC cecah RM1.84 trilion

Saiz aset GLIC cecah RM1.84 trilion

oleh Ammar Haziq

PETALING JAYA – Saiz aset di bawah pengurusan Syarikat-syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) bernilai RM1.84 trilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah itu hampir sama saiz Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) nominal Malaysia, tahun ini.

“GLIC mempunyai tanggungjawab untuk bersama-sama dengan kerajaan dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan pendapatan rakyat terbanyak.

“GLIC di Malaysia berupaya menggerak dan melonjak ekonomi Malaysia ke depan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu, Anwar memaklumkan, semalam beliau mempengerusikan mesyuarat dengan Ketua-ketua Pegawai Eksekutif GLIC.

Menurut Perdana Menteri, perbincangan itu adalah mukadimah kepada reformasi GLIC dan Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) agar lebih tertumpu kepada pembangunan serta kesejahteraan rakyat seperti yang digariskan dalam kerangka Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, semasa sesi tersebut, beliau telah memberi mandat kepada GLIC untuk meningkatkan pelaburan langsung domestik masing-masing.

“Dalam usaha untuk memacu potensi ekonomi Malaysia, saya juga telah menggariskan bahawa GLIC dan GLC harus menggembleng tenaga untuk menyokong aspirasi negara sebagai destinasi pelaburan dan hab ekonomi Islamik bertaraf dunia.

“Melonjakkan pelaburan di sektor digital dan tenaga boleh baharu, serta menggalak sektor perusahaan mikro kecil dan sederhana (PKMS) melebarkan pasaran ke negara-negara serantau,” katanya.

Tambah Perdana Menteri, beliau juga menerima baik cadangan-cadangan Ketua-ketua Pegawai Eksekutif GLIC untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan kemajuan ekonomi tempatan.

Jelasnya, ia termasuk menambah baik perbelanjaan daripada kutipan zakat korporat, menjalinkan usaha sama dengan sektor swasta bagi membangunkan penginapan pelajar serta menggembleng lebih dana untuk pelaburan di syarikat-syarikat tidak tersenarai dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Bagi memastikan misi-misi ini tercapai, kerajaan akan terus mengadakan mesyuarat berkala yang akan dipengerusikan oleh saya atau Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan untuk memantau pencapaian dan kemajuan inisiatif yang diterajui oleh GLICs.

“Insya-Allah, dengan pendekatan ini, Malaysia akan melangkah lebih cepat ke arah kemajuan yang mampan dan saksama,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com