KUALA LUMPUR – Dalam usaha mempercepatkan agenda pendigitalan negara dan membina tenaga kerja berkemahiran tinggi, kerajaan memperkenalkan potongan cukai tambahan sebanyak 50 peratus kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menjalani latihan berkaitan kecerdasan buatan (AI) serta keselamatan siber.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata inisiatif itu dilaksanakan sebagai sebahagian daripada persediaan Malaysia menuju status negara berasaskan AI menjelang tahun 2030.
“Potongan cukai tambahan ini diberikan kepada PMKS bagi menampung kos latihan yang diiktiraf MyMahir National AI Council for Industry (NAICI). Langkah ini bertujuan memastikan lebih banyak syarikat tempatan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi global,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan memperuntukkan sebanyak RM5.9 bilion rentas kementerian bagi tujuan penyelidikan, pembangunan, komersialisasi dan daya cipta (RDCI), yang akan menjadi teras utama kepada inovasi dan kemajuan teknologi tempatan.
Selain itu, Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) menerima RM20 juta untuk memperkukuh infrastruktur digital, membangunkan bakat berkemahiran tinggi dan membina ekosistem AI yang cekap dan selamat.
Anwar turut mendedahkan bahawa Malaysia kini menjadi tumpuan pelaburan gergasi dunia dalam bidang AI dan pusat data, termasuk daripada Microsoft, Google dan Amazon Web Services (AWS).
“Microsoft melabur sebanyak AS$2.2 bilion (RM10.34 bilion) bagi membangunkan Wilayah Awan Malaysia Barat, manakala Google memperuntukkan AS$2 bilion (RM19.74 bilion) untuk membina pusat data dan wilayah baharu Google Cloud di Selangor,” jelas beliau.
Menurut Perdana Menteri, Microsoft juga akan melatih 800,000 rakyat Malaysia melalui program AI for Malaysia’s Future serta menubuhkan Pusat Inovasi AI Kebangsaan Microsoft.
“Google pula akan melaksanakan program AI@Work 2.0 bagi melatih penjawat awam, manakala AWS akan menyokong usaha pendigitalan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui pembelajaran mesin dan analitik data raya,” katanya.
Langkah-langkah di bawah Belanjawan 2026 ini menunjukkan tekad kerajaan untuk memperkasakan ekonomi digital, membina bakat tempatan berkemahiran tinggi, dan memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam gelombang revolusi teknologi global menuju tahun 2030.