Saturday, 4, May, 2024
Utama Ekonomi Lebih RM1 bilion untuk bangunkan sempadan Sabah dan Sarawak – PM

Lebih RM1 bilion untuk bangunkan sempadan Sabah dan Sarawak – PM

oleh admin

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersedia menambah peruntukan lebih RM1 bilion bagi membangunkan sempadan Sabah dan Sarawak
susulan pembangunan ibu kota negara Indonesia, Nusantara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiada lagi alasan bagi melengahkan projek pembangunan Pan Borneo.

Malah, katanya, ia juga perlu diselesaikan jauh lebih awal berbanding jangkaan asal.

Mengambil contoh negara jiran, Indonesia katanya, telah memutuskan untuk membina ibu kota nusantara yang bertempat di Kalimantan.

Ujarnya, Malaysia tidak seharusnya ketinggalan maka usaha tersebut perlu terus dimanfaatkan dengan meneruskan kemajuan di persempadanan Sabah dan Sarawak.

“Kita tidak mahu ketinggalan memanfaatkan kemudahan itu untuk memajukan lagi sempadanan Sabah dan Sarawak.

“Untuk itu, saya telah luluskan tambahan dari kelulusan projek yang banyak di Sabah dan Sarawak ini, lebih RM1 bilion lagi untuk pembangunan sempadan.

“Saya telah tugaskan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof untuk memastikan, menyegerakan, dan tidak ada alasan sama sekali untuk melengahkan Pan Borneo, supaya selesai lebih cepat daripada jangkaan yang ditetapkan dulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan di Stadium Perpaduan, Kuching, Sarawak malam tadi.

Tambah Anwar, Sarawak kini dilihat sudah jauh ke depan bagaimanapun Sabah tidak sewajarnya dipinggirkan dan beberapa perkara perlu diselesaikan secepat mungkin.

Dalam pada itu, Anwar turut memaklumkan, isu sekolah daif di Sabah dan Sarawak juga telah berjaya diatasi jauh lebih awal daripada perancangan asal.

Selain itu, tambahnya, kerajaan juga akan teruskan dengan hasrat untuk menoktahkan kemiskinan tegar di kedua-dua negeri berkenaan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com