Wednesday, 29, October, 2025
Utama Ekonomi Anwar sangkal dakwaan Malaysia tunduk kepada Amerika Syarikat

Anwar sangkal dakwaan Malaysia tunduk kepada Amerika Syarikat

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak dakwaan bahawa Malaysia tunduk kepada tekanan Amerika Syarikat (AS), susulan termeterainya perjanjian perdagangan baharu antara kedua-dua negara baru-baru ini.

Menurutnya, meskipun perjanjian itu dilihat memberi lebih banyak manfaat kepada AS, ia sama sekali tidak mengekang Malaysia daripada menjalin kerjasama perdagangan dengan negara lain termasuk China dan Rusia.

“Mereka mahu bincang soal nadir bumi, semikonduktor dan maritim, kita bersetuju untuk berbincang. Tapi adakah ia menghalang kita berurusan dengan China? Tidak. Dengan Rusia pun tidak,” katanya.

Anwar menegaskan, kebijaksanaan diplomasi Malaysia membolehkan hubungan baik dikekalkan dengan semua kuasa besar dunia tanpa perlu memihak kepada mana-mana pihak.

“Kita perlu hadam, Malaysia kini dihormati di peringkat antarabangsa. Kalau kita takut kepada Amerika, mana mungkin kita menandatangani protokol naik taraf perjanjian perdagangan bebas ASEAN-China sehari selepas Trump pulang,” katanya pada sidang media khas penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Anwar turut mendedahkan, beliau menggunakan kesempatan pertemuan empat mata bersama Presiden AS Donald Trump untuk menyuarakan isu kemanusiaan di Gaza secara terus.

“Siapa kata kita mengalah? Dalam mesyuarat dua hala, saya sendiri yang bercakap hati ke hati dengan Trump. Kita boleh marah di sini, tapi rakyat Palestin terus dibunuh dan dibom. Sekurang-kurangnya dengan campur tangan Amerika, serangan dihentikan dan penaklukan Tebing Barat dilarang,” katanya.

Beliau menambah, walaupun pelan damai Gaza yang dikemukakan AS belum menyeluruh, Malaysia tetap menuntut penyelesaian komprehensif yang menghormati hak rakyat Palestin untuk memiliki negara sendiri.

“Kita ucap terima kasih atas pelan damai itu, tapi kita minta ia diperbaiki. Yang 20 perkara itu tidak komprehensif sebab tak sebut soal negara Palestin atau Tebing Barat,” katanya.

Dalam masa sama, Anwar meluahkan rasa kecewa terhadap pihak tertentu yang mempolitikkan isu hubungan Malaysia-AS semata-mata untuk meraih kepentingan politik.

“Tidak perlu sokong saya, tapi sokonglah pendirian Malaysia. Saya bercakap bagi pihak rakyat Malaysia untuk mempertahankan Palestin di hadapan Trump sendiri,” tegasnya.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berakhir hari ini menandakan tamatnya tempoh setahun Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, dengan pelbagai kejayaan diplomatik dan ekonomi berjaya dicapai sepanjang kepengerusian negara.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com