KUALA LUMPUR: Kedutaan Palestin di Malaysia memuji tindakan kerajaan yang meletakkan isu Palestin sebagai teras dalam agenda ASEAN bagi memperjuangkan hak menentukan nasib sendiri serta penubuhan sebuah negara merdeka dan berdaulat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, kedutaan itu menyifatkan pendirian berprinsip Malaysia sebagai satu langkah penting yang memperkukuh perjuangan rakyat Palestin di pentas antarabangsa.
“Kedutaan memuji Malaysia kerana meletakkan isu Palestin sebagai teras agenda ASEAN dan mengesahkan semula sokongan bersejarah serta tidak berbelah bahagi terhadap hak yang tidak boleh dipisahkan rakyat Palestin,” menurut kenyataan tersebut.
Kenyataan itu turut menzahirkan penghargaan mendalam terhadap kepimpinan Malaysia yang berwawasan dan berinspirasi selaku Pengerusi ASEAN 2025, yang dilihat berjaya membawa semangat solidariti serantau ke tahap lebih tinggi.
“Tindakan itu meninggalkan kesan transformatif yang mendalam bukan sahaja di peringkat ASEAN, malah di seluruh dunia Islam dan antarabangsa,” kata kenyataan berkenaan.
Kedutaan turut menyifatkan pendirian Malaysia yang teguh dan berprinsip terhadap isu serantau dan global, disertai pendekatan diplomasi inklusif dan berpandangan jauh, telah berjaya mengangkat kedudukan ASEAN sebagai blok yang lebih dihormati di peringkat global.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa Malaysia bersedia menyertai Misi Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Gaza bersama negara-negara sehaluan, termasuk anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Sebelum ini, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, turut memuji dasar luar Malaysia yang konsisten dan tidak berat sebelah dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin.
Beliau menegaskan, Malaysia sentiasa mempertahankan hak rakyat Palestin untuk menentukan masa depan mereka sendiri serta menubuhkan negara merdeka yang diiktiraf antarabangsa.
Langkah Malaysia itu dilihat memperkukuh komitmen berterusan negara dalam memperjuangkan keamanan menyeluruh dan berkekalan di Asia Barat, seiring dengan pendirian ASEAN yang menolak penindasan serta mendukung hak kemanusiaan sejagat.