KUALA LUMPUR: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menegaskan bahawa Malaysia bukan sebuah negara yang tunduk atau mengikut telunjuk kuasa besar, sebaliknya berdiri sebagai negara berdaulat yang disegani di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata Malaysia kini diiktiraf sebagai rakan dagang yang mampu berunding dengan yakin dalam setiap urusan antarabangsa tanpa menjejaskan kedaulatan negara mahupun kepentingan rakyat.
“Biar dunia lihat bahawa Malaysia bukan negara yang tunduk menikus mengikut tunjuk mana-mana kuasa. Negara kita dihormati dan disegani kerana mampu berunding dengan yakin, menjamin kedaulatan negara, mempertahankan haknya dan melindungi kepentingan rakyat,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Tengku Zafrul turut menegaskan bahawa pendirian tegas Malaysia dalam hubungan antarabangsa mencerminkan dasar kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menekankan prinsip keberanian diplomatik serta keseimbangan strategik dalam arena global.
Kenyataan beliau turut mendapat perhatian ramai susulan Sidang Kemuncak ASEAN25 yang menyaksikan kehadiran beberapa pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai suara penting di rantau ini.