SUBANG – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim semalam berangkat ke Arab Saudi bagi mengadakan Lawatan Negara selama empat hari bermula 3 hingga 6 November, sebagai langkah memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan negara itu.
Pesawat khas membawa Seri Paduka Baginda berlepas dari Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada jam 9 pagi, dengan keberangkatan disaksikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Turut hadir mengiringi keberangkatan, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad serta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.
Hadir sama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Sebelum berangkat, Seri Paduka Baginda menerima tabik Hormat Diraja daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Mejar Muhammad Fikri Senan, diiringi tembakan meriam 21 das serta alunan lagu Negaraku.
Semasa di Riyadh, Sultan Ibrahim dijadual mengadakan pertemuan empat mata dengan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud di Istana Yamamah.
Lawatan ini merupakan yang pertama oleh seorang Yang di-Pertuan Agong ke Arab Saudi sejak kali terakhir dilaksanakan oleh Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah pada tahun 1984.
Selesai lawatan di Arab Saudi, Seri Paduka akan meneruskan Lawatan Negara ke Bahrain atas jemputan Raja Hamad bin Isa Al-Khalifa bermula 6 November ini.
Keberangkatan Sultan Ibrahim turut diiringi oleh paduka anakanda Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj, dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Al-Haj, bersama Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai Menteri Pengiring.
Hubungan akrab antara Sultan Ibrahim dan Raja Hamad telah terjalin sejak sekian lama. Ketika menjadi Sultan Johor pada tahun 2017, Sultan Ibrahim pernah mengadakan lawatan rasmi ke Bahrain, manakala Raja Hamad berangkat ke Kuala Lumpur pada 2024 untuk menghadiri Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.