BANGI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia perlu bergerak pantas bagi merebut peluang menjadi hab semikonduktor dan teknologi digital serantau, sejajar perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) serta transformasi digital global.
Berucap merasmikan Konvensyen Pengajian Islam Institut Pendidikan Tinggi Antarabangsa 2025 di UKM, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata negara tidak boleh lagi bergerak secara perlahan dalam menguasai teknologi baharu.
Menurutnya, perubahan AI berlaku terlalu cepat hingga ilmu dalam setahun boleh berlipat kali ganda, justeru semua bidang termasuk pengajian Islam perlu memperkemas kurikulum agar seiring permintaan ekonomi digital.
Anwar menegaskan dasar negara mengenai pembangunan semikonduktor perlu jelas dan konsisten, sambil memanfaatkan kestabilan politik semasa yang membolehkan pelaksanaannya berjalan pantas dan teratur.
Beliau turut mengingatkan bahawa industri elektrik dan elektronik negara memerlukan rangkaian antarabangsa yang kukuh, termasuk kerjasama dengan kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China bagi memastikan pertumbuhan berterusan.
Konvensyen tersebut menghimpunkan ilmuwan dan pemimpin akademik bagi memperkukuh hala tuju pengajian Islam melalui pendekatan lebih dinamik, selari tuntutan ekonomi dan teknologi semasa.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.