Monday, 29, April, 2024
Utama Ekonomi Potongan cukai sehingga RM300,000 bagi syarikat pengeluar EV

Potongan cukai sehingga RM300,000 bagi syarikat pengeluar EV

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Kerajaan menawarkan potongan cukai sehingga RM300,000 bagi syarikat pengeluar kenderaan elektrik (EV) bukan komersial yang akan dibuat sehingga Disember 2025.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan juga akan mengetepikan cukai jalan bagi kenderaan EV sehingga 31 Disember 2025.

Jelasnya, usaha itu juga selari dengan matlamat kerajaan untuk membawa Malaysia ke arah negara hijau.

“Kerajaan sudah memberi pengecualian duti import lanjutan untuk EV pemasangan tempatan sehingga Disember 2027 serta memberikan sepenuhnya pengecualian cukai eksais dan cukai jualan model CKD dan melanjutkan pengecualian cukai untuk model CBU sehingga Disember 2025.

“Untuk mengukuhkan lagi penerimaan pakai EV, kerajaan juga menawarkan potongan cukai sehingga RM300,000 untuk syarikat yang memajak kenderaan elektrik bukan komersial serta mengetepikan cukai jalan untuk EV sehingga 31 Disember 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum melancarkan kenderaan elektrik Weststar Maxus Mifa 9 di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut ujarnya, kerajaan juga akan mneyediakan 10,000 stesen pengecas EV di seluruh negara menjelang 2025 sebagai usaha untuk menyambut baik inisiatif berkenaan.

Selain itu jelasnya, kerajaan bermatlamat untuk mempercepatkan penerimaan meluas EV dan menggalakkan penggunaan teknologi hijau dalam pelbagai sektor.

Anwar menambah, pemilikan kenderaan elektrik di Malaysia ketika ini juga diberikan pelbagai insentif dan faedah dengan Belanjawan 2024 turut menggariskan dedikasi teguh mempromosikan Malaysia yang lebih hijau serta mampan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com