Friday, 21, November, 2025
Utama Nasional Anwar seru belia Malaysia, Afrika buang mentaliti kolonial

Anwar seru belia Malaysia, Afrika buang mentaliti kolonial

oleh Ammar Haziq

ADDIS ABABA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru belia Malaysia dan Afrika menyingkirkan “mentaliti kolonial” serta budaya imperialisme yang masih mencengkam pemikiran masyarakat meskipun puluhan tahun selepas kemerdekaan.

Anwar berkata, golongan muda di kedua-dua benua mesti berani menentukan masa depan sendiri tanpa bergantung kepada acuan bekas kuasa penjajah.

“Belia mesti menimbang dan membuat keputusan sendiri dalam membentuk masa depan Afrika dan Asia,” katanya ketika menyampaikan kuliah bertajuk Bridging Civilisations, Building Futures: Strengthening Afro-Malaysia Partnership for Shared Prosperity di ibu negara Ethiopia itu.

Menurut Perdana Menteri, kesan psikologi dan budaya penjajahan masih tersisa dalam banyak negara sehingga membuatkan mereka bertindak seperti pemerintah kolonial terhadap rakyat sendiri.

“Itulah sebabnya kita melihat banyak negara merdeka di Asia, Afrika dan Amerika Latin bertindak lebih seperti pemerintah biasa berbanding sebagai peneraju kebebasan, keadilan dan kemerdekaan,” katanya.

Anwar turut mengingatkan bahawa perjuangan menentang perhambaan dan penjajahan suatu ketika dahulu perlu diterjemahkan dalam bentuk pemikiran bebas dan keyakinan diri, terutama dalam kalangan belia.

“Kita telah menentang perhambaan dan kolonialisme, jadi kita tidak seharusnya menjadi hamba dalam pemikiran dan sikap kita,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa kegagalan membuang mentaliti itu boleh menyebabkan sesebuah negara menyimpang daripada nilai kebebasan dan keadilan yang pernah diperjuangkan generasi terdahulu.

Forum Belia Afro-Malaysia bertema Youth Partnership for Shared Prosperity itu menghimpunkan 250 peserta, dengan kehadiran Menteri Wanita dan Hal Ehwal Sosial Ethiopia, Dr Ergoge Tesfaye; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa; dan Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Ethiopia, Mohd Afandi Abu Bakar.

Dalam ucapannya, Ergoge menyatakan minat Ethiopia untuk meningkatkan kerjasama belia dengan Malaysia termasuk melalui program pertukaran, hab inovasi dan penyelidikan.

Lawatan rasmi Anwar ke Ethiopia sejak 18 November adalah yang pertama oleh Perdana Menteri Malaysia ke negara berjulukan “Tanduk Afrika” itu, sebelum beliau meneruskan perjalanan ke Johannesburg bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20, disusuli lawatan rasmi ke Kenya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 kedahgazette.com - All Rights Reserved | Hakmilik - Mercu Media Advertising Sdn. Bhd.