Wednesday, 15, May, 2024
Utama Nasional Peruntukan sehingga RM40 juta, latihan AI penjawat awam

Peruntukan sehingga RM40 juta, latihan AI penjawat awam

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Kerajaan akan memperuntukkan sehingga RM40 juta bagi penyediaan latihan bidang kecerdasan buatan (AI), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ujarnya, inisiatif kerajaan itu katanya akan menumpukan kepada penjawat awam muda untuk menggunakan kemahiran tersebut dalam pelbagai bidang di sektor kerajaan.

Tambah Anwar, pihaknya bimbang sekiranya kemahiran itu tidak dikuasai maka sektor kerajaan akan ketinggalan dan akan didominasi sepenuhnya oleh syarikat swasta.

“Saya bimbang kalau kita biarkan keadaan seperti ini (kemahiran AI) kita hanya akan beralih untuk menyerahkan kepada syarikat swasta atau menggunakan konsultan.

“Jadi mengapa tidak boleh kita sediakan tenaga dalaman sendiri jadi sebab itu perubahan dan peluang ini patut disegerakan dan teroka bidang-bidang dan pendedahan yang diperlukan untuk penjawat awam,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada Majlis Anugerah Inovasi Perdana Sektor Awam 2023 di sini, pada Selasa.

Bercakap mengenai kedudukan penjawat awam sedia ada, kata Perdana Menteri, golongan itu tidak sesekali diabaikan sebaliknya memerlukan sedikit ruang bagi meneroka ilmu baharu berkenaan.

Tambah Anwar, beliau berpendapat, latihan yang bermula dari tempoh enam bulan hingga setahun sudah dianggap memadai bagi penjawat awam untuk meneroka bidang AI untuk digunakan dalam sektor awam.

“Bagi penjawat awam sedia ada, kita harus berikan ruang kepada mereka kerana mereka ada kemahiran, ada pengalaman dan beberapa penerokaan ilmu baharu disipilin baru yang harus dikuasai maka saya fikir kursus enam bulan atau setahun mungkin memadai,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Anwar juga telah mencadangkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi agar diwujudkan fakulti AI sebagai persiapan jangka panjang.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com