KUALA LUMPUR– Parti Tindakan Demokratik (DAP) mengambil keputusan tegas untuk tidak menerima sebarang jawatan dalam Kerajaan Perpaduan Sabah susulan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung baru-baru ini.
Keputusan itu dimuktamadkan dalam mesyuarat tergempar Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP bagi menilai prestasi parti dalam PRN tersebut.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata keputusan PRN Sabah memberikan isyarat jelas daripada rakyat yang menunjukkan krisis keyakinan terhadap DAP dan gabungan Pakatan Harapan.
“Kami telah menerima isyarat yang tidak meragukan daripada para pengundi. Tidak dapat dinafikan bahawa pilihan raya kali ini mencerminkan krisis keyakinan yang serius terhadap DAP dan Pakatan Harapan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, para pemimpin dan jentera kempen DAP menyedari wujudnya ketidakpuasan yang meluas dalam kalangan rakyat sepanjang tempoh berkempen.
Berikutan itu, DAP akan mengumpulkan semua maklum balas yang diterima dan bekerjasama dengan Perdana Menteri untuk mempercepatkan agenda reformasi dalam tempoh enam bulan akan datang.
Dalam mesyuarat sama, DAP Sabah turut membentangkan pendirian mereka kepada CEC bahawa tiada pemimpin parti itu akan menerima jawatan dalam kerajaan negeri, termasuk jawatan lantikan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
“Para pemimpin DAP Sabah akan terus berkhidmat secara aktif kepada rakyat Sabah dan berusaha mengembalikan keyakinan rakyat,” kata Loke.
Langkah itu dilihat sebagai usaha parti untuk memulihkan kepercayaan rakyat dan mengekalkan integriti politik, selain memberi tumpuan kepada khidmat masyarakat tanpa memegang sebarang jawatan dalam pentadbiran negeri.
DAP sebelum ini bertanding di beberapa kerusi dalam PRN Sabah namun gagal meraih kemenangan, sekali gus mencetuskan keperluan untuk muhasabah dan penilaian semula strategi politik parti di negeri berkenaan.