Thursday, 4, December, 2025
Utama Nasional “Tegur, bukan pecat pegawai yang keluarkan surat mohon pertimbangan”

“Tegur, bukan pecat pegawai yang keluarkan surat mohon pertimbangan”

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Pegawai kerajaan yang mengeluarkan surat bagi memohon pertimbangan atau perhatian sesuatu permohonan wajar ditegur, namun tidak sampai dikenakan tindakan pemecatan, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, perbezaan perlu dibuat antara surat meminta pertimbangan dengan surat sokongan yang jelas meminta kelulusan projek untuk pihak tertentu, yang dianggap satu kesalahan.

“Memang saya tidak setuju surat sokongan ini. Kita harus bezakan. Ada kes pegawai di pejabat saya, senarai enam syarikat dan minta dipertimbangkan, wajar diberi teguran.


“Tetapi apakah harus dipecat? Surat itu sebut ‘sila pertimbangkan’, bukan syor meluluskan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Anwar turut menjelaskan, terdapat pegawai di Kementerian Kewangan yang hanya memanjangkan surat kepada pihak berkaitan, dan tindakan itu tidak boleh disamakan dengan memberi sokongan terus kepada syarikat tertentu.

“Orang hantar surat kepada saya, saya tulis ‘sila teliti’. Yang tidak boleh ialah menyokong atau meminta supaya syarikat itu diberikan kelulusan,” katanya.

Menjawab pertanyaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) mengenai keperluan audit dalaman terhadap pegawai menteri, Perdana Menteri berkata, tatakelakuan penjawat awam sudah dipantau melalui Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia serta sistem tatatertib sedia ada.

Pada masa sama, beliau menarik perhatian Dewan kepada contoh surat dari Kelantan dan Terengganu yang didakwanya melanggar peraturan kerana meminta kelulusan secara langsung.

Anwar turut mengulangi pendirian bahawa semua kes salah guna kuasa dan rasuah diserahkan sepenuhnya kepada SPRM tanpa campur tangan.

Merujuk kes bekas Setiausaha Politik Kanan beliau, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, Anwar berkata pembangkang masih tidak berpuas hati meskipun SPRM menjalankan siasatan secara bebas.

“Orang itu digari, pakai baju oren. Banyak kes berat lain tidak digari pun. Apa lagi yang hendak dipersoalkan? Saya tidak tegur sepatah pun kepada SPRM. Mereka bebas menyiasat,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa usaha tegas membanteras rasuah di bawah Kerajaan MADANI membolehkan hasil negara berjumlah RM15.5 bilion dipulihkan melalui tindakan terhadap sindiket yang beroperasi sejak puluhan tahun.

“Ini hanya dapat dibuat kerana ada tekad politik dan kesungguhan,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 kedahgazette.com - All Rights Reserved | Hakmilik - Mercu Media Advertising Sdn. Bhd.