KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan tahniah kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor susulan pembentukan Kabinet Perpaduan Sabah yang baharu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) minggu lalu.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata barisan Kabinet itu mencerminkan kematangan politik serta komitmen kepimpinan negeri untuk meneruskan agenda pembangunan Sabah bagi penggal lima tahun akan datang.
Menurutnya, kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan penting bagi menangani isu strategik termasuk infrastruktur, penyampaian perkhidmatan, kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata kesepaduan Kabinet baharu itu diyakini dapat memperkukuh hubungan dengan kerajaan Persekutuan bagi memastikan aspirasi rakyat Sabah dilaksana secara lebih berkesan.
“Kerajaan Persekutuan akan terus bekerjasama rapat dengan kepimpinan Sabah dalam semangat MADANI bagi memastikan pembangunan negeri dilakukan secara inklusif dan mampan,” katanya menerusi Taklimat Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim.
Anwar berkunjung ke Sabah bagi menghadiri Majlis Sentuhan MADANI Bersama Rakyat Negeri Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC), selain mengadakan pertemuan dengan Hajiji dan barisan Kabinet baharu.
Pada Rabu lalu, Hajiji mengumumkan pembentukan Kabinet baharu selepas PRN Sabah berakhir.