Monday, 15, December, 2025
Utama Umum Malaysia gesa Thailand, Kemboja henti permusuhan

Malaysia gesa Thailand, Kemboja henti permusuhan

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Malaysia menggesa Thailand dan Kemboja supaya menghentikan segala bentuk permusuhan serta tidak meneruskan sebarang tindakan ketenteraan susulan ketegangan berterusan yang berlaku di sempadan kedua-dua negara berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata gesaan itu disampaikan menerusi perbualan telefon secara berasingan dengan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet.

Beliau berkata Malaysia menegaskan kepentingan kedua-dua pihak untuk mengekang penggunaan kekerasan, termasuk tidak menggerakkan pasukan bersenjata atau melaksanakan sebarang tindakan ketenteraan yang boleh mencetuskan konflik lebih besar.

“Malaysia berpandangan bahawa sikap bertenang dan dialog perlu terus dijadikan landasan utama dalam menangani ketegangan di sempadan Thailand-Kemboja,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Anwar, bagi menyokong usaha meredakan ketegangan serta meningkatkan tahap ketelusan di lapangan, Malaysia mencadangkan penugasan Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT) bagi memantau keadaan semasa.

Beliau berkata pasukan berkenaan akan diketuai oleh Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jen Tan Sri Mohd Nizam Jaafar, dengan pemantauan turut disokong oleh kemudahan satelit yang disediakan oleh kerajaan Amerika Syarikat.

Anwar berkata dapatan pemantauan lapangan dan satelit itu akan dikumpulkan dan dibentangkan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN yang dijadualkan berlangsung dalam masa terdekat.

Beliau menegaskan Malaysia kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan rakan-rakan ASEAN serta komuniti antarabangsa bagi memastikan keamanan, kestabilan serantau dan penyelesaian secara diplomatik terus dipelihara.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 kedahgazette.com - All Rights Reserved | Hakmilik - Mercu Media Advertising Sdn. Bhd.