Thursday, 8, January, 2026
Utama EkonomiBantuan SARA RM100 dikredit 9 Februari, bantu persiapan Tahun Baharu Cina dan Ramadan

Bantuan SARA RM100 dikredit 9 Februari, bantu persiapan Tahun Baharu Cina dan Ramadan

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA – Pembayaran Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 kepada semua warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas akan dikreditkan pada 9 Februari ini sebagai langkah meringankan beban kos sara hidup rakyat.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bantuan berkenaan melibatkan kira-kira 22 juta rakyat dan diharap dapat membantu persiapan menjelang sambutan Tahun Baharu Cina serta bulan Ramadan.


“SARA tahun ini untuk semua rakyat, iaitu 22 juta rakyat Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas kita akan kreditkan pada 9 Februari ini,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri bagi Januari serta Amanat Tahun 2026, di sini.


Menurut Anwar, kerajaan kekal komited memastikan kebajikan rakyat terus diberi keutamaan melalui pelaksanaan bantuan bersasar dan menyeluruh, khususnya dalam keadaan kos sara hidup yang masih mencabar.


Selain itu, beliau turut mengumumkan pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2026 Fasa 1 akan mula disalurkan bermula 20 Januari ini, selaras dengan usaha kerajaan memperkukuh jaringan keselamatan sosial untuk golongan memerlukan.


Katanya, langkah berterusan itu mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan rakyat di samping memastikan bantuan disampaikan secara cekap dan berkesan.

Artikel Berkaitan