NEW YORK: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan mesyuarat dengan rakan sejawatnya dari Thailand dan Iraq di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 di sini.
Ia merupakan penglibatan rasmi pertama Anwar dengan Srettha Thavisin sejak taikun hartanah Thailand itu dilantik sebagai Perdana Menteri bulan lepas.
Mesyuarat yang berlangsung selama 30 minit itu turut dihadiri menteri-menteri Kabinet kedua-dua negara.
“Selain membincangkan cara untuk mengukuhkan hubungan dua hala, kami juga bercakap mengenai pelbagai isu termasuk sempadan, proses damai di Selatan Thailand dan isu-isu serantau lain yang mempunyai kepentingan bersama” kata Anwar.
Kemudian Anwar bertemu Perdana Menteri Iraq, Mohammed Shia’ Al Sudani dan kedua-dua pemimpin membincangkan cara untuk mengukuhkan lagi hubungan mereka dan meneroka bidang kerjasama baharu.
Dalam pertemuan itu, Anwar memaklumkan kepada Mohammed Shia bahawa Malaysia akan membuka semula kedutaannya di Baghdad, Iraq, yang ditutup sejak lebih 20 tahun lepas.
Iraq kekal sebagai rakan dagang keenam terbesar Malaysia dan sumber import ketujuh terbesar dalam kalangan negara-negara Asia Barat, dengan jumlah perdagangan tahun lepas bernilai RM4.68 bilion (US$1.07 bilion), meningkat 24.3 peratus berbanding RM3.76 bilion (US$0.91 bilion) pada 2021.
Perdana Menteri juga turut mengadakan pertemuan dengan wakil Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengenai iklim, John Kerry yang merupakan Setiausaha Negara AS dari 2013 hingga 2017 di bawah pentadbiran Presiden Barack Obama.
Antara topik yang dibincangkan ialah mengenai alam sekitar, tenaga boleh diperbaharui dan pemanasan global yang menyebabkan kesan besar di seluruh dunia.
“Saya juga menyatakan hasrat untuk terus bekerjasama dengan AS dalam peralihan tenaga boleh diperbaharui, pengurangan pelepasan gas metana, kewangan iklim dan teknologi,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan.
Sementara itu, Anwar turut menghadiri sesi perbincangan dengan Ahli Majlis Hubungan Luar Negeri (CFR), sebuah badan pemikir dan penerbit bebas bukan partisan, yang mempromosikan pemahaman mengenai hubungan antarabangsa dan dasar luar negara.
“Dalam sesi ini saya mendengar dan berkongsi dasar serta polisi negara terkait hubungan antarabangsa, pentas global dan geopolitik bersama badan pemikir ini,” katanya.
Katanya beliau menghargai jemputan mereka dan berharap diskusi seperti itu akan dapat diteruskan pada masa mendatang.