Saturday, 4, May, 2024
Utama Negeri Banjir kilat Baling : 102 mangsa dipindahkan ke dua PPS 

Banjir kilat Baling : 102 mangsa dipindahkan ke dua PPS 

oleh Ammar Haziq

BALING – Seramai 102 orang di Baling dipindahkan ke dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selepas dilanda banjir kilat pada malam Khamis.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Lefternan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, PPS pertama dibuka di Masjid Islahiyah, Tawar menempatkan 91 mangsa dari 31 keluarga mula diaktifkan jam 11 malam.

Menurutnya, PPS kedua dibuka di Masjid Binjul Luar, Mukim Tawar, dimana seramai 11 orang mangsa dari dua keluarga dipindahkan bermula jam 12 tengah malam.

“Semua mangsa telah dipindahkan susulan paras air sungai yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengairan Saliran (JPS) Stesen Sungai Ketil di Kampung Kuala Pegang, Pulai menunjukkan melebihi paras bahaya 36.19 meter. 

“Ini berikutan taburan hujan yang lebat di daerah ini menyebabkan air Sungai melimpah ke tebing di Kampung Padang Empang dan Kampung Iboi,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ujarnya, pemindahan mangsa dilakukan susulan pemantauan anggota APM di kawasan terbabit mendapati banjir kilat memasuki rumah penduduk.

“Air sungai naik terlalu cepat dan ianya mengancam keselamatan penduduk.

“Setakat pagi ini anggota APM masih melakukan pemantauan dan semua mangsa tidak dibenarkan pulang sehingga air surut sepenuhnya,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com