Friday, 22, November, 2024
Utama Ekonomi Anwar yakin FDI Jepun melebihi RM30 bilion pada 2023

Anwar yakin FDI Jepun melebihi RM30 bilion pada 2023

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Kerajaan yakin pelaburan asing langsung (FDI) dari Jepun akan melebihi RM30 bilion (AS$6.33 bilion), susulan keyakinan yang tinggi dari pelabur negara tersebut terhadap Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu dalam sidang media bersama dengan rakan sejawatannya, Fumio Kishida berkata, kedua-dua negara juga terus komited untuk mengukuhkan hubungan dua hala, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan.

Beliau berkata ia adalah suatu petanda yang menggalakkan tentang keyakinan dan keinginan yang berterusan dari pelabur Jepun ke Malaysia, dan Kerajaan sentiasa mengalu-alukan lebih banyak FDI ke negara ini.

“Kedatangan PM Kishida ke Malaysia adalah sangat bertepatan pada masanya, ketika hubungan dua hala kita semakin kukuh, dan kita sedang memperhebatkan lagi kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan; pembangunan industri; pembinaan kapasiti; pelancongan; pendidikan; dan pertukaran budaya; termasuk sains dan teknologi.

“Tahun lepas, kedua-dua negara bersetuju untuk mengangkat hubungan dua hala ke peringkat ‘Kerjasama Strategik Menyeluruh (CPS)’. Susulan itu, kami berdua komited untuk memuktamadkan perincian terhadap kerjasama baharu ini, yang saya yakin, akan membawa hubungan kita ke peringkat seterusnya,” katanya lagi.

Terdahulu, Anwar dan Kishida mengadakan pertemuan peribadi di Kediaman Rasmi Perdana Menteri, Kompleks Seri Perdana, disusuli dengan mesyuarat dua hala yang turut disertai Menteri-menteri dan pegawai Kerajaan dua negara.

Kedua-dua mereka turut menyaksikan pertukaran Memorandum Kerjasama (MOC) dalam bidang maklumat dan komunikasi, antara Ketua Setiausaha, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, dan rakan sejawatnya, Hiroshi Yoshida.

MOC itu melibatkan kerjasama komprehensif dalam bidang penyiaran dan ICT, di mana ia akan memudahcara pertukaran polisi dan perundangan maklumat, penerbitan bersama dalam penyiaran, serta perkongsian kepakaran penyiaran.

Dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) pula, MOC itu menyentuh mengenai pelbagai bidang termasuk 5G, keselamatan siber, dan ekonomi digital.

Kishida, dan isterinya, Yuko, sedang mengadakan lawatan rasmi selama dua hari di Malaysia antara 4 hingga 5 November, selepas melakukan lawatan yang serupa di Filipina.

Sementara itu Anwar berkata, beliau dan Kishida turut menyentuh mengenai peringkat semasa penubuhan kampus Universiti Tsukuba di Malaysia, yang mampu menyediakan pendedahan dan akses pendidikan berkualiti Jepun kepada pelajar Malaysia.

Selain itu, beliau turut membangkitkan hasrat Malaysia untuk melihat penubuhan satu lagi kampus universiti terkemuka di Jepun, iaitu Waseda University, yang banyak melahirkan tokoh-tokoh di negara ini, termasuk Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz.

“Saya sebutkan kepada PM Kishida, satu lagi universiti yang telah melahirkan golongan intelektual seperti Prof Diraja Ungku Abdul Aziz, dan alumni lain dari universiti tersebut, iaitu Universiti Waseda. Saya telah meminta sokongan PM Kishida, supaya kita mengadakan kerjasama istimewa dengan Universiti Waseda,” katanya lagi.

Sementara itu, Kishida berkata, Jepun menyahut baik inisiatif dan kerjasama dengan Malaysia, khususnya dalam tiga bidang utama iaitu – kerjasama keselamatan dan pertahanan; ekonomi; serta hubungan ASEAN.

Tambahnya lagi, beliau gembira melihat hubungan strategik antara Jepun dan Malaysia terus mengukuh, dan berharap beberapa perkara yang dibincangkan, dapat dimuktamadkan menjelang pertemuan kedua mereka sewaktu Persahabatan dan Kerjasama Jepun-ASEAN di Tokyo, pertengahan Disember ini.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com