Monday, 14, October, 2024
Utama Politik Logo, nama PKR dikeluarkan dari sesawang Liberal International

Logo, nama PKR dikeluarkan dari sesawang Liberal International

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Nama dan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sebelum ini didakwa sebagai ahli pertubuhan parti politik, Liberal International sudah dikeluarkan daripada laman sesawangnya, pada Ahad.

Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil memaklumkan, Liberal International juga mengambil maklum bahawa PKR bukan ahli pertubuhan itu.

“Saya telah berhubung dengan pihak Liberal International supaya nama dan logo PKR dikeluarkan daripada laman web organisasi itu dan baru setengah jam tadi, saya dimaklumkan bahawa pihak Liberal International sudah menurunkan logo (PKR),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program PemerkasaanOrang Kurang Upaya (OKU) Celik Digital di Pusat Komuniti IWK Eco Park, di sini, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi dan Digital memberitahu, PKR juga sedang mempertimbangkan tindakan perundangan ke atas pihak-pihak yang melemparkan tohmahan tersebut.

“Saya akan minta kawan-kawan terutamanya para peguam untuk mengambil kira tohmahan dan fitnah jahat yang dibuat beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab yang cuba mengaitkan PKR dengan Liberal International dengan niat yang jahat.

“Sekiranya ada keperluan, kita akan mengambil tindakan perundangan atau kita teliti perkara ini dan saya berharap semua menghentikan tohmahan itu,” tambahnya.

Menurutnya, berdasarkan maklum balas yang diterima Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) lebih 200 kandungan berkaitan Liberal International dikaitkan dengan PKR.

“Memang ada tingkah laku yang diselaraskan dan ini serangan politik dan penting saya jelaskan fakta, PKR bukan ahli Liberal International,” jelasnya.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai hantaran oleh beberapa pihak yang mendakwa, PKR menjadi ahli dalam organisasi parti politik liberal antarabangsa yang turut dipercayai mempunyai kaitan menyokong Israel.

Liberal International adalah sebuah organisasi parti politik liberal di seluruh dunia yang diasaskan di Oxford pada 1947 dan menjadi rangkaian utama bagi parti liberal yang bertujuan untuk mengukuhkan liberalisme di seluruh dunia.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com