KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh menyiasat sesiapa tanpa mengira status atau kedudukan seseorang di negara ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada istilah pemimpin atau individu berpengaruh di negara ini tidak boleh disentuh atau disiasat badan itu.
“Kalau tidak nanti kritikan dia apa? Yang ikan kecil ini ditangkap, yang kepala-kepala tak boleh disentuh. Bila disentuh masih ada yang pertahankan dan gunakan pengaruh dan media terutama media sosial untuk pertahankan.
“Biarlah siasatan dibuat. Dia rahsia umum. Orang yang menggondol kekayaan yang begitu besar, biarlah ada siasatan. Jadi pemimpin jangan dilihat sebagai melindungi perasuah besar. Jadi Itu tanggungjawab SPRM menjalankan tugas siasatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas selesai solat Jumaat di Masjid Jamek Kota Damansara pada Jumaat.
Anwar juga berharap tiada sebarang spekulasi atau tafsiran awal mengenai siasatan melibatkan pemimpin berdepan dengan dakwaan penyalahgunaan kuasa sehingga memiliki kekayaan luar biasa.
Tambah beliau pentadbiran di bawah kepimpinan beliau seharusnya menunjukkan contoh untuk berani bertindak terhadap perasuah besar.
“Apakah ia benar atau tidak, biarlah proses dijalankan dan kemudian badan kehakiman memutuskan,” katanya.