KOTA BHARU – Telatah seorang murid orang kurang upaya (OKU) tahun satu yang bergerak dengan menaiki kereta mainan di dalam kelas pada hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Ismail Petra 1 di sini, menarik perhatian ramai.
Abdul Hakim Saifuddin Zulkifli , 7, mengalami palsi serebrum sejak lahir, namun tidak kekok apabila mera bergaul dengan rakan lain selain menyertai sukaneka yang dianjurkan pihak sekolah.
Ibunya, Siti Fatimah Nurul Naim Hussin, 45, berkata Abdul Hakim sangat teruja untuk hadir ke sekolah dan bangun seawal jam 3 pagi untuk bersiap.
“Hari ini Abdul Hakim bangun seawal jam 3 pagi, siap mandi dan mengenakan seragam sekolah. Saya terpaksa menyuruhnya kembali melelapkan mata kerana masih awal pagi.
“Jam 5 pagi Abdul Hakim sekali lagi bangun dan mengejutkan saya. Kami berdua serta empat lagi anak kemudiannya bersiap-siap untuk ke sekolah,” katanya yang dipetik melalui portal Berita Harian.
Abdul Hakim yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik merupakan seorang yang suka berkawan dan ketika belajar di tadika, dia sangat jarang tidak hadir walaupun ada masalah kesihatan.
Menurut Siti Fatimah, kedua-dua kaki Abdul Hakim bengkok dan pendek menyebabkan dia tidak dapat berjalan secara normal dan hanya bergerak dengan bantuan tangan ketika di rumah.
Katanya, buat masa ini Abdul Hakim terpaksa menggunakan kereta mainan untuk bergerak di sekolah sementara menunggu kerusi roda yang ditempah khas tiba dijangka dua minggu lagi.
“Saya sangat berterima kasih kepada pihak sekolah kerana menyediakan kemudahan untuk anak saya antaranya laluan mesra OKU, membina sinki yang rendah di kantin serta tandas yang mempunyai pemegang,” katanya.