Saturday, 23, November, 2024
Utama Mahkamah & Jenayah Dua lelaki terjun sungai tingalkan syabu bernilai RM347,000 

Dua lelaki terjun sungai tingalkan syabu bernilai RM347,000 

oleh Ammar Haziq

SUNGAI PETANI – Jabatan Kastam Diraja Kedah berjaya mengagalkan aktiviti menyeludup dadah dipercayai  jenis syabu bernilai RM347,000 yang cuba diseludup melalui jalan air ke negara jiran di di Muara Sungai Pasar Bisik, Kota Kuala Muda, di sini pada Rabu lalu.

Pengarahnya, Nor Izah Abd Latiff berkata, bertindak atas maklumat berkenaan aktiviti penyeludupan dadah, sepasukan anggota Penguatkuasaan Marin Tanjung Dawai, Sungai Petani, telah membuat pemantauan dan risikan di sekitar kawasan Kota Kuala Muda.

Menurutnya, pasukan itu telah mengesan sebuah bot nelayan jenis fibre 34 kaki tanpa nombor pendaftaran di Muara Sungai Pasar Bisik pada jm 6.30 petang.

“Selepas menunggu hampir 4 jam, pada jam 10.20 malam, bot tersebut didatangi dua orang lelaki yang mecurigakan dan memandu bot tersebut ke arah laut besar. Pasukan serbuan bertindak memintas bot tersebut.

“Namun setelah menyedari kehadiran anggota penguatkuasaan, dua lelaki tersebut bertindak terjun ke muara sungai sebelum menghilangkan diri.  

“Hasil pemeriksaan ke atas bot tersebut, pasukan telah menjumpai 10 bungkusan berwarna coklat disyaki dadah jenis Syabu (Methamphetamine) yang diletakkan di dalam sebuah beg dan disembunyikan di ruang simpanan bot,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Nor Izah berkata, anggaran berat syabu tersebut lebih kurang 10.5 kilogram dan nilai pasaran bagi dadah jenis syabu ini dianggarkan bernilai RM347,000.

Tambahnya, bot fiber tersebut beserta dua enjin yamaha 250hp turut disita dengan nilai anggaran RM225,000 dan anggaran nilai rampasan keseluruhan adalah berjumlah RM572,000.

“Tiada sebarang tangkapan dibuat namun siasatan diteruskan bagi mengesan pemilik bot terbabit.  

Berdasarkan sumber, dadah jenis syabu ini cuba dibawa keluar secara haram melalui jalan laut dengan menggunakan bot nelayan ke negara jiran dipercayai Indonesia.

“Sindiket beroperasi pada lewat malam bertujuan untuk mengelak dari dikesan oleh pihak berkuasa. Dadah ini akan diedarkan ke negara jiran bagi mendapatkan keuntungan berlipat kali ganda berbanding pasaran tempatan,” ujar beliau

Jelasnya, berdasarkan jumlah berat dadah yang diperolehi, rampasan ini telah berjaya dibanteras daripada diedarkan kepada 100,000 orang penagih dadah.  

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com