Saturday, 27, April, 2024
Utama Mahkamah & Jenayah Empat individu ditahan SPRM subahat kemuka tuntutan palsu lebih RM1.1 juta

Empat individu ditahan SPRM subahat kemuka tuntutan palsu lebih RM1.1 juta

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah telah menahan reman empat individu termasuk seorang pemilik syarikat dan timbalan pengarah logistik agensi penguat kuasa kerana disyaki bersubahat mengemukakan tuntutan palsu membabitkan kerja penyelenggaraan kapal bernilai lebih RM1.1 juta.

Perintah reman selama enam (6) hari sehingga 31 Mac terhadap kesemua suspek yang berusia sekitar 30-an dan 40-an dikeluarkan oleh Majistret Siti Noorhidayah Mohd Noor selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Alor Setar, pada Selasa.

Menurut sumber, suspek utama yang merupakan seorang pemilik syarikat dipercayai telah mengemukakan tuntutan yang mengandungi butiran matan palsu membabitkan kerja penyelenggaraan kapal agensi penguat kuasa antara Julai hingga November 2020.

“Tiga lagi suspek, masing-masing berjawatan timbalan pengarah logistik, peniaga dan ketua pusat servis disyaki turut bersubahat dengan pemilik syarikat terbabit.

“Kesemua suspek telah ditahan di Pejabat SPRM Kedah, semalam antara jam 4 petang hingga 11.30 malam tadi ketika hadir bagi dirakamkan keterangan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Ahmad Nizam ismail ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek dan katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com