Friday, 18, October, 2024
Utama Mahkamah & Jenayah Tukang kebun didenda RM2,500, ikat kaki anjing heret dengan motosikal

Tukang kebun didenda RM2,500, ikat kaki anjing heret dengan motosikal

oleh Ammar Haziq

KULIM – Seorang tukang kebun didenda sebanyak RM2,500 oleh Mahkamah Majistret Kulim selepas mengaku salah melakukan khianat terhadap seekor anjing.

Md Yusof Majid, 66, membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Jamaliah Abd Manaf pada Khamis dengan melakukan khianat terhadap seekor anjing dengan cara mengikat haiwan tersebut di bahagian kaki dan mengheret menggunakan motosikal.

Berdasarkan pertuduhan, warga emas itu melakukan perbuatan berkenaan pada jam 7.30 pagi di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Junjung, di sini pada 9 Jun lalu.

Tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Timbalan Pendakwaraya Lim Jin Hong memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kepada tertuduh sebagai pengajaran awam.

Namun. peguam tertuduh Amir Hamzah A Rahman merayu agar denda minimum RM1,000 dikenakan kerana tertuduh memperoleh pendapatan RM1,500 selain perlu menyara isteri dan seorang anak.

Menurutnya, Md Yusof turut mengidap sakit jantung, darah tinggi dan sawan serta akan mendatangkan masalah kepada keluarga sekiranya dihukum penjara.

“Tertuduh telah menyesal atas perbuatan itu dan menjelaskan bahawa kejadian dikatakan berpunca daripada tindakan sekumpulan anjing liar yang sering masuk ke kawasan sekolah dan mencemarkan persekitaran,” katanya.

Majistret Jamaliah kemudian memerintahkan hukuman denda sebanyak RM2,500 serta menasihati tertuduh agar tidak bertindak sendiri dalam kes itu kerana sepatutnya perlu melaporkan kejadian kepada pihak sekolah dan Pejabat Perkhidmatan Veterinar.

Sebelum ini, video berdurasi dua minit 13 saat tular di media sosial memaparkan kejadian di mana seorang lelaki dipercayai mengheret seekor anjing sehingga ke luar kawasan sekolah menyebabkan berlaku kecederaan ke atas haiwan berkenaan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com