Sunday, 14, July, 2024
Utama Ekonomi Harga bahan, kos jentera pembinaan naik

Harga bahan, kos jentera pembinaan naik

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Harga bahan dan upah jentera pembinaan telah meningkat dengan mendadak susulan harga diesel  meningkat kepada RM3.35 Isnin lalu. 

Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Kedah (PKMMNK), Mohammad Fauzee Mohamad berkata kenaikan harga bahan tersebut mampu menyebabkan ramai kontraktor di seluruh negara gulung tikar kerana tidak mampu menyerap kenaikan kos berkenaan.  

“Kita mohon langkah terbaik kerajaan dapat membantu seluruh kontraktor dalam kawalan untuk mencegah kenaikan harga bahan binaan dan sewa jentera.

“Kalau tak dapat kawal harga barang kena bagi subsidi kepada kita sebab dalam tender, kita tak boleh letak harga lebih daripada ditetapkan kerajaan dan kerana itu pentingnya variasi harga (VOP) dikembalikan dalam bentuk sepenuhnya.

“Malah, kaedah penamatan bersama (mutual termination) juga perlu dikembalikan bagi membantu kontraktor-kontraktor menyerahkan semula tender yang diperolehi sekiranya gagal memenuhi obligasi kontrak,” katanya pada sidang media pada Jumaat.

Mohammad Fauzee, berkata VOP juga wajar dikembalikan oleh kerajaan dalam jumlah sepenuhnya iaitu bergantung kepada perbezaan kenaikan harga yang berlaku.

“Dahulu ada VOP untuk 16 item, kenaikan harga barang masa itu mencecah sampai 25 peratus tetapi VOP yang kita dapat hanya tiga peratus sahaja. Kena kaji semula berapa yang kita layak kerana kalau tidak kontraktor akan gulung tikar.

“PKMMNK sebenarnya menyambut baik tindakan kerajaan berkaitan subsidi diesel ini bagi mencegah penyeludupan tetapi disamping langkah diambil ini, kita sebagai pemain industri dalam sektor pembinaan sangat terkesan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan YDP PKMMNK, Noordin Md Safar berkata jentera seperti jentolak yang banyak digunakan dalam industri pembinaan mengalami kenaikan sewa daripada RM450 kepada RM600 sehari ketika ini.

“Keuntungan dijana ketika ini bawah 20 peratus, apabila kenaikan lebih berbanding keuntungan sudah pasti kita berhadapan defisit dalam setiap projek, jika itu terjadi maka banyak projek mungkin terbengkalai sebab kita tak mampu tanggung kos,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Kerja Raya berharap kenderaan yang terbabit dalam sektor pembinaan dipertimbangkan untuk Program Bantuan Subsidi Madani terutamanya kenderaan membawa bahan binaan milik kontraktor kecil dan sederhana supaya sektor pembinaan tidak perlu menaikkan sebarang kos disebabkan rasionalisasi subsidi diesel.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com