SUNGAI BAKAP – Lelaki berbangsa India yang terkenal dengan jolokan Aney ‘one by one gentleman’ selepas video pergaduhannya tular kini sekali lagi tampil dengan satu video terbaru yang menarik dan mencuit hati para vetizen.
Video berkenaan memaparkan Aney kembali semula ke premis kedai serbaneka sebelum ini dengan membawa sebilah parang seolah-olah mahu mencetuskan masalah di lokasi itu.
Namun, babak cemas yang berlaku itu cuba diredakan oleh calon Calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin namun akhirnya bertukar kepada suasana mengelikan hati apabila Aney hanya mengajak lelaki berbangsa Cina itu untuk menjamu durian bersama-sama.
Video yang dimuatkan di sosial media Joohari itu mendapat pujian ramai netizen kerana memaparkan elemen perpaduan di dalam masyarakat majmuk di negara ini.
Calon PH yang dikenali dengan panggilan mesra Cikgu Joohari itu turut menitipkan pesanan agar semua masyarakat di negara ini perlu hidup bersama-sama dan sentiasa bersatu hati untuk memajukan negara.
Melihat ke ruangan balas hantaran, rata-rata netizen menyatakan rasa terhibur dengan video tersebut walaupun dibuat sempena kempen PRK Sungai Bakap yang berlangsung sehingga Sabtu ini.
Bagi seorang netizen, Khusyairi Kamil, dia bersetuju dengan mesej yang dibawa oleh video kempen tersebut.
“Alhamdulillah , ‘good content’ untuk menyatupadukan rakyat Malaysia pelbagai kaum, ini yang Malaysia perlukan,” katanya.
Perkara sama dipersetujui seorang lagi netizen iaitu Matt Lai yang menyifatkan semua pemimpin perlu membawa mesej perpaduan ke dalam masyarakat.
“Tak kiralah wakil rakyat daripada parti mana, janji dapat tolong rakyat dengan ‘efficient’ dan ‘effective’. Saya sokong keharmonian dan perpaduan antara satu sama lain dalam negara yang saya cintai, Malaysia,”ujarnya.
Pada 13 Jun lalu, media melaporkan dua lelaki iaitu pemilik kedai dan pelanggannya yang sebelum ini tular bergaduh di sebuah kedai runcit di Seberang Jaya, di sini, menerusi video yang popular dengan ungkapan ‘one by one’ dan ‘gentleman’ akhirnya berbaik atas semangat perpaduan.
Pemilik kedai runcit, Goh Yap Eng, 49, berkata beliau dan seorang lagi lelaki yang terlibat dalam pergaduhan itu mencapai kata sepakat untuk menarik balik kes masing-masing apabila mengadakan pertemuan di hadapan pegawai penyiasat polis.