Wednesday, 4, December, 2024
Utama Sukan UiTM juara SUKIPT 2024, enam rekod kebangsaan dipecahkan

UiTM juara SUKIPT 2024, enam rekod kebangsaan dipecahkan

oleh Ammar Haziq

SINTOK – Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah mengungguli kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2024 apabila berjaya mengatasi naib johan, Universiti Putra Malaysia (UPM) serta tempat ketiga, Politeknik Malaysia.

Biarpun berkongsi kutipan emas yang sama,  kutipan keseluruhan UiTM iaitu sebanyak 97 pingat (38 emas, 20 perak, 39 gangsa) telah berjaya memberi kelebihan berbanding kutipan 78 pingat UPM (38 emas, 19 perak, 21 gangsa).

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang telah hadir menyempurnakan majlis penutup kejohanan tersebut yang telah dihoskan oleh tuan rumah edisi keenam, Universiti Utara Malaysia (UUM). 

Sebanyak 74 kontinjen merangkumi universiti awam, universiti swasta, politeknik dan kolej komuniti, serta Institut Pendidikan Guru (IPG) telah berentap dalam mempamerkan kejaguhan masing-masing di sepanjang seminggu penganjuran sukan dwitahunan itu bermula 6 September lalu. 

Seramai 6148 orang atlet IPT telah memperagakan kehebatan bagi merebut 231 pingat emas melalui 28 acara sukan di kesemua 23 buah gelanggang pertandingan. 

SUKIPT 2024 turut mencatatkan sejarah membanggakan kerana buat pertama kali penganjurannya semenjak 2012 lalu, enam (6) rekod kebangsaan telah berjaya dipecahkan melalui sukan kayak yang melibatkan 6 acara membabitkan 8 orang atlet yang akan membawa pulang wang habuan RM20,000 secara bersama. 

Malah, dua orang atlet sukan kayak iaitu Nik Afiq Nik Mazli (Kolej Poly-Tech MARA), serta Siti Nurqasrini Syahzanani, (UiTM) telah turut dinobatkan Olahragawan dan Olahragawati SUKIPT 2024 atas pencapaian kecemerlangan mereka.  

Pada masa yang sama, kejayaan pasukan bola sepak UiTM mempertahankan kejuaraan semenjak SUKIPT ke-4; serta pencapaian pasukan bola jaring Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dalam kejohanan ini, turut diberi penghargaan apabila masing-masing telah diumumkan sebagai penerima Pasukan Terbaik (Lelaki) dan Pasukan Terbaik (Wanita) SUKIPT 2024. 

Selain itu, sebanyak 24 rekod kejohanan telah turut berjaya dipecahkan melibatkan sembilan gelanggang olahraga; manakala 15 rekod lagi di lapangan memanah melibatkan lapan rekod bagi acara Compund dan tujuh rekod bagi Recurve. 

Kecemerlangan yang terlakar dalam SUKIPT 2024 ini membuktikan penganjurannya sentiasa relevan dengan perancangan serta usaha KPT melahirkan lebih ramai atlet IPT yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi dan berprestij.

SUKIPT 2024 telah turut dijayakan hasil kerjasama strategik antara KPT, IPT awam dan swasta, politeknik dan kolej komuniti, majlis-majlis sukan IPT, Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), persatuan sukan kebangsaan, agensi-agensi kerajaan, rakan-rakan sukan, serta organisasi media tempatan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com