ALOR SETAR – Kenyataan Tan Sri Rafidah Aziz berhubung usaha Kerajaan Madani membangunkan semula Gaza sangat tidak wajar apa tah lagi beliau merupakan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Pengarah, Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama, PKR, Amidi Abdul Manan, berkata selaku individu atau pemimpin yang memahami selok belok hubungan antarabangsa seharusnya beliau tidak mengeluarkan kenyataan seumpama itu.
“Israel tidak pernah tunduk dengan mana-mana desakan antarabangsa, khususnya penyelesaian dua negara walau telah diputuskan diperingkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Oleh yang demikian kenyataan Tan Sri Rafidah seolah-olah menunggu kucing bertanduk,” katanya dalam kenyataan semalam.
Rafidah semalam dilaporkan berkata pemimpin Malaysia perlu memberi keutamaan kepada keperluan rakyat sebelum memulakan rancangan untuk membangunkan semula Gaza yang musnah akibat serangan rejim Zionis.
Selain itu, Amidi turut menyentuh situasi tragis yang berlaku di Gaza dengan mengingatkan dalam edisi terbaru peperangan Hamas-Israel, apabila rejim Zionis telah menyerang semua kemudahan awam termasuk masjid, sekolah dan hospital.
“Ada kemungkinan tidak pernah terlintas di media sosial beliau, solat hari raya dilakukan dalam runtuhan sebuah bangunan. Malah para doktor perubatan ditangkap atau terbunuh ketika hospital dibom. Di manakah rasa kasihan belas Tan Sri?,” katanya.
Malaysia sebelum ini mengumumkan pembinaan Bandar Wakaf Malaysia di Gaza menjadikannya negara ASEAN pertama yang mengambil inisiatif membangunkan semula wilayah itu.
Projek berimpak tinggi itu berada di bawah naungan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan dijangka dilancarkan selepas Ramadan ini.