Friday, 29, March, 2024
Utama Politik RISDA salur Rm15.8 juta bantuan musim tengkujuh kepada pekebun kecil getah di kedah

RISDA salur Rm15.8 juta bantuan musim tengkujuh kepada pekebun kecil getah di kedah

oleh admin

PADANG TERAP, 15 Nov – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) memperuntukkan RM15.8 juta bagi Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) untuk negeri Kedah.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, RISDA menerima sejumlah 26,348 permohonan daripada pekebun kecil getah setakat ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid

“Penerima bantuan tersebut merupakan golongan pengusaha dan pemilik daripada golongan pekebun kecil getah di seluruh negeri Kedah yang layak.

Setakat hari ini, seramai 16,889 orang penerima telah dikreditkan bayaran BMT bagi fasa pertama sebanyak RM300 setiap orang.”

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pekebun Kecil RISDA Makmur Negeri Kedah di Kg. Musa, Pedu di sini hari ini.

Jelas Mahdzir, bagi daerah Padang Terap, peruntukan keseluruhan BMT oleh RISDA adalah sebanyak RM2.57 juta dengan sasaran agihan untuk 10,886 orang pekebun kecil.

Setakat ini sejumlah 3,077 permohonan telah diluluskan dan 2,987 pekebun kecil daerah itu telah menerima bayarannya.

“Ini menunjukkan prestasi yang baik oleh pihak RISDA dalam memastikan penyaluran bantuan ini sampai kepada golongan sasar dalam masa yang ditetapkan.

Ini adalah salah satu inisiatif daripada pihak kerajaan Keluarga Malaysia melalui RISDA dalam usaha meningkatkan kesejahteraan dan taraf kehidupan pekebun kecil getah.”

Tambah Mahdzir, bayaran fasa pertama akan terus dilaksanakan dalam bulan November kepada baki pekebun kecil yang masih belum menerimanya.

Manakala bayaran fasa kedua pula akan dilaksanakan sepanjang bulan Disember secara berperingkat.

“RISDA bukan hanya menyalurkan bantuan BMT kepada pekebun kecil, malah turut ada bantuan seperti penyediaan prasarana pertanian, kemudahan insfrastruktur pertanian, skim getah matang, pembangunan keusahawanan serta latihan dan pendampingan di kebun-kebun getah milikan pekebun kecil,” kata Mahdzir.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com