Tuesday, 4, February, 2025
Utama Mahkamah & Jenayah Ibu empat anak direman disyaki buang bayi

Ibu empat anak direman disyaki buang bayi

oleh Ammar Haziq

KANGAR – Seorang ibu kepada empat anak yang masih kecil ditahan polis awal pagi Sabtu untuk membantu siasatan penemuan seorang bayi perempuan yang ditinggalkan di sebuah kedai makan di Sanglang pada 19 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop, berkata suspek, 29, yang bekerja sebagai pembantu kedai makan direman selama empat hari sehingga 5 Februari dan hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam kejadian itu.

“Pada 18 Januari lalu, sekitar jam 6.30 petang, suspek melahirkan bayi perempuan di dalam tandas seorang diri tanpa bantuan di sebuah rumah di Simpang Empat. Pada 19 Januari, sekitar jam 4.30 pagi, suspek pergi ke sebuah kedai makan di Sanglang untuk membuang bayi tersebut. Suspek menaiki kenderaan jenis Myvi berwarna kuning milik rakannya,” katanya dalam kenyataan Ahad.

Yusharifuddin menjelaskan suami suspek berada di pusat tahanan serenti dan tangkapan dan rampasan melibatkan sebuah telefon bimbit jenis Redmi, satu SIM kad warna putih, satu memori kad warna hitam, satu gunting hijau, satu cadar coklat dan putih, serta sampel uri yang dibakar suspek.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi. Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, denda, atau kedua-duanya sekali,” tambahnya.

Pada 19 Januari, polis menerima laporan mengenai penemuan seorang bayi perempuan dalam keadaan menangis di dalam beg plastik yang diletakkan di atas meja di sebuah kedai makan di Sanglang.

Pemeriksaan oleh pakar perubatan dari Unit Pediatrik Hospital Tuanku Fauziah mengesahkan bayi perempuan itu dijangka lahir antara 5 hingga 6 jam sebelum ditemui. Bayi seberat 2.55 kilogram dan panjang 47 cm itu berada dalam keadaan cukup sifat dan sihat, dan sehingga kini masih berada di Hospital Tuanku Fauziah.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com