KUALA LUMPUR: Proses pencalonan bagi Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025 menyaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempertahankan jawatan Presiden parti selepas namanya disahkan tersenarai di laman sesawang rasmi pencalonan.
Setakat jam 8.30 malam tadi, jawatan Timbalan Presiden dijangka menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Nurul Izzah Anwar dan penyandang, Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Bagi jawatan Naib Presiden, seramai 11 individu telah mengemukakan pencalonan termasuk empat penyandang iaitu Chang Lih Kang (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi), Nik Nazmi Nik Ahmad (Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam), Datuk Seri Amirudin Shari (Menteri Besar Selangor), dan Datuk Seri Aminuddin Harun (Menteri Besar Negeri Sembilan).
Turut mengintai jawatan itu ialah Timbalan Setiausaha Agung PKR, Dr Sathia Prakash Nadarajan; Timbalan Ketua Penerangan 1 PKR, Datuk Seri R. Ramanan (Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi); serta Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.
Nama lain yang tersenarai ialah Ketua Cabang Hulu Rajang, Abun Sui Anyit (Ahli Dewan Negara); bekas EXCO Selangor, Hee Loy Sian; Ahli Parlimen Segamat, R. Yuneswaran; serta Pengerusi Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Mustaffa Kamil Ayub.
Pencalonan bagi pemilihan kali ini membabitkan peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Keadilan yang dijalankan secara dalam talian selama dua hari bermula semalam dan akan berakhir jam 11.59 malam ini.
Proses bantahan dijadualkan pada 11 dan 12 Mei, diikuti rayuan pada 13 hingga 14 Mei, tarikh akhir penarikan diri pada 14 Mei, manakala senarai muktamad calon akan diumumkan 15 Mei.
Tempoh kempen ditetapkan bermula 15 hingga 22 Mei, sebelum hari pengundian berlangsung pada 23 Mei.
Kongres Nasional PKR bersama Kongres AMK dan Wanita dijadualkan berlangsung dari 21 hingga 24 Mei di Johor Bahru.