Saturday, 24, May, 2025
Utama Politik Pengorbanan Nurul Izzah, Rafizi kepada PKR sangat besar – Anwar

Pengorbanan Nurul Izzah, Rafizi kepada PKR sangat besar – Anwar

oleh Ammar Haziq

JOHOR BAHRU – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pengorbanan dan perjuangan dua tokoh utama parti, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar, tidak boleh dipandang ringan oleh akar umbi.

Dalam ucapan dasarnya pada Kongres Nasional Keadilan 2025, Anwar menyeru supaya kritikan terhadap mereka dilakukan dengan penuh adab dan kesedaran terhadap jasa mereka kepada parti dan negara.

“Kerana agenda perjuangan ini lebih tinggi, lebih besar daripada agenda Anwar. Anwar itu satu sosok, hari ini ada… empat bulan lagi berusia 78 tahun, dua tahun lagi sudah 80 tahun. Jadi kemungkinan tidak ada itu lebih banyak.

“Saya nak pastikan, atas kekuatan yang kita ada. Kita boleh tegur, kita boleh tak suka tetapi sudah percaya. Sebab itu saya sebut di mana, kita tahu orang tegur, sama ada Rafizi atau Izzah.

“Yang tegur tu kadang-kadang tak upaya kamu nak saingi pengorbanan mereka berdua. Dari nak tegur, tegur lah. Tapi janganlah bandingkan kehebatan dan kekuatan mereka dan pengorbanan mereka. Tak ramai yang (menyamai). Kalau terlanjur, mohon maaf (kepada mereka),” katanya lagi.

Anwar berkata demikian sewaktu berucap menyampaikan Ucapan Dasar Presiden sempena Kongres Nasional Keadilan 2025 yang diadakan di Johor Bahru, pada Jumaat.

Beliau turut menegaskan bahawa biarpun Rafizi sering tampil dengan pandangan yang lantang, ia sama sekali bukan tanda pengkhianatan terhadap parti.

“Saya juga ada pandangan, tapi tidak sekeras Rafizi. Tapi degilnya lebih kurang sama, keras kepala pun lebih kurang.

“Tapi nak bagitahu, kalau tak setuju, janganlah lebih- sangat. Mana mungkin… tak upaya saudara saingi, dan bedanya ini bukan orang yang tidak bersetuju, lebih idealistik ya, terlanjur ya, tapi bukan khianat. Dia nak kuatkan parti, dia bukan khianat,” tegasnya lagi.

Dalam pemilihan parti kali ini, Nurul Izzah berjaya mengatasi Rafizi dalam persaingan merebut jawatan nombor dua PKR, sementara jawatan Naib Presiden disandang oleh empat pemimpin utama, termasuk Datuk Seri Amirudin Shari dan Chang Lih Kang.

Anwar berharap agar semangat perjuangan yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin PKR ini terus dihargai oleh akar umbi, kerana perjuangan parti lebih besar daripada individu.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com