TAWAU: Perdana Menteri merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan parti itu akan meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.72 Merotai pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah yang dijangka berlangsung selepas pembubaran DUN selewat-lewatnya 11 November ini.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menegaskan, Sabah memerlukan kepimpinan berwibawa dengan calon yang benar-benar memahami denyut nadi rakyat serta mampu membawa suara negeri itu ke peringkat nasional.
“Yang penting, kita perlu ada kesatuan. Jangan ada permusuhan, bukan Melayu lawan Cina, bukan Dusun lawan Kadazan, bukan Sabah mahu lawan Semenanjung. Pilihlah pemimpin yang baik, tidak kira dari Sabah atau Semenanjung, demi rakyat,” katanya ketika berucap pada Himpunan Temui Rapat Umum di Merotai.
Menurut beliau, PRN Sabah ke-17 adalah medan penting untuk memilih wakil rakyat yang bukan sekadar menabur janji, tetapi membawa perubahan melalui pembangunan, teknologi serta dasar yang membela martabat orang Sabah dan kepentingan Malaysia keseluruhannya.
“Calon mesti faham, mesti wakili semangat orang Sabah, dan mesti mengangkat darjat rakyat Malaysia. Jangan hanya tabur janji ibarat bulan dan bintang,” tegasnya.
Pada majlis sama, Anwar memperkenalkan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Ruji Ubi, anak jati Kampung Haji Matahir, Tawau, yang disifatkan berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan.
“Saya kata kepadanya, sudah sampai masa kamu balik kampung dan jaga rakyat,” kata Perdana Menteri.