Friday, 22, November, 2024
Utama Nasional Bersatu kena kembali ‘bersatu’ dengan UMNO

Bersatu kena kembali ‘bersatu’ dengan UMNO

oleh Ammar Haziq
Hasmuni.

Baru-baru ini Presiden Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan parti-parti Melayu perlu bersatu bagi mengukuhkan penyatuan ummah.

Saya bersetuju dengan saranan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bahawa gesaan Muhyiddin itu tidak wajar menjadi retorik semata-mata.

Maka, paling wajar dan ideal ialah parti Bersatu kembali menyertai UMNO yang jelas mempunyai ideologi, orientasi dan hala tuju yang sama.

Hanya langkah ini sahaja yang akan mengukuhkan penyatuan ummah setelah UMNO dan PAS bersatu melalui Muafakat Nasional (MN).

Permuafakatan MN telah menunjukkan hasil dan impak yang amat positif dan terbukti dalam beberapa siri Pilihan Raya Kecil sebelum ini.

Logiknya kita tidak perlu membanyakkan lagi kemunculan parti Melayu yang hanya lebih memecahbelahkan dan menyukarkan penyatuan ummah.

Selepas kekalahan dalam PRU14, UMNO telah melalui proses rejuvenasi dan pembaharuan total.

Jika Bersatu masih mahu menjenamakan Perikatan Nasional (PN) dan mahu semua parti bernaung di bawahnya, ia hanya menunjukkan ego Bersatu ketika memiliki sedikit kuasa ketika ini.

Itu pun atas ihsan UMNO yang menyokong PN walaupun tidak menyertainya. Jika, beberapa Ahli Parlimen menarik sokongan kepada PN, PN akan jatuh pada bila-bila masa.

Isunya bukan itu. Isunya ialah adalah lebih baik Bersatu kembali ‘bersatu’ dengan UMNO di mana semangat penyatuan itu lebih mudah daripada membina sesuatu yang baharu.

HASMUNI HASSAN
Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia
Ketua Pemuda UMNO Kubang Pasu

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com