Monday, 25, November, 2024
Utama Nasional Isu 6 kapal peronda generasi kedua LCS : Zahid tampil beri penjelasan

Isu 6 kapal peronda generasi kedua LCS : Zahid tampil beri penjelasan

oleh Ammar Haziq

KENYATAAN MEDIA DATO’ SERI DR. AHMAD ZAHID BIN HAMIDI BERKENAAN ISU PEMBEKALAN ENAM (6) KAPAL PERONDA GENERASI KEDUA LITTORAL COMBATANT SHIP (LCS) OLEH KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA

Saya ambil maklum akan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), YB Wong Kah Woh melalui satu sidang media pada 17.12.2020 berkenaan isu kegagalan Boustead Naval Shipyard (BNS) Sdn Bhd (“Boustead”) membekalkan enam (6) kapal peronda generasi kedua Littoral Combatant Ship (LCS) kepada Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF).

2. Seperti yang diketahui umum, saya memegang jawatan sebagai Menteri Pertahanan mulai April 2009 sehingga Mei 2013. Ingin dijelaskan bahawa kegagalan pembekalan oleh Boustead ini timbul hanya pada tahun 2019 di mana pada ketika itu saya tidak lagi memegang jawatan sebagai Menteri Pertahanan.

3. Saya juga ingin tegaskan LCS ini dibina oleh syarikat Boustead Naval Shipyard (BNS) yang dimiliki oleh Boustead Holdings Berhad di mana pemegang saham terbesarnya adalah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) milik Kerajaan, manakala pemegang saham kedua terbesarnya adalah KWAP yang juga milik Kerajaan.

4. Merujuk kepada dua laporan audit yang dibangkitkan oleh YB Wong, ini penjelasan saya:a. Penganugerahan kontrak kepada Boustead adalah mengikut Garis Panduan Permohonan Perolehan Secara Rundingan Terus bertarikh 17.04.2002 yang mana ia secara jelas menyebut rundingan terus hanya boleh dibuat setelah mendapat kelulusan Kementerian Kewangan dan bukannya Menteri Pertahanan, danb. Mengenai isu denda lewat kepada syarikat Boustead, saya percaya Kementerian Pertahanan telah memberikan penerangan lanjut berkaitan status isu itu. Kementerian juga telah menyatakan bahawa satu Surat Tuntutan telah disediakan dan diserahkan kepada “Pegawai Pengawal” untuk kelulusan.

5. Dengan itu, ingin ditegaskan bahawa saya telah berhenti sebagai Menteri Pertahanan pada tahun 2013 dan tidak pula menjawatnya pada 2019. Pastinya isu ini berada di luar pengetahuan saya.

6. Akhir sekali, berkenaan isu pembayaran berkala kepada Boustead, saya juga menegaskan bahawa pembayaran ini telah dibuat pada 2019 di mana saya tidak lagi memegang jawatan sebagai Menteri Pertahanan. Oleh itu, saya tiada pengetahuan dan kawalan ke atas sebarang keputusan yang dibuat oleh Kementerian mengenai isu pembayaran berkala tersebut.

7. Saya sesungguhnya menghormati peranan dan bidang kuasa PAC dalam memastikan kelangsungan struktur kerajaan dan pengurusannya.

8. Walau bagaimanapun, saya percaya PAC seharusnya lebih sensitif dalam mengendalikan keseluruhan proses siasatan, khususnya isu keselamatan negara kerana ia masih di peringkat siasatan.

9. Ingin saya tegaskan bahawa penjelasan ini sama sekali tidak mengubah niat saya untuk terus memberikan kerjasama dan membantu PAC dalam melengkapkan siasatannya.

Terima kasih.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com