Wednesday, 1, May, 2024
Utama Nasional PM yakin unjuran KDNK 4.0 hingga 5.0 peratus mampu dicapai

PM yakin unjuran KDNK 4.0 hingga 5.0 peratus mampu dicapai

oleh admin

KUALA LUMPUR – Kerajaan yakin dapat mencapai unjuran keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 4.0 hingga 5.0 peratus bagi 2023 berikutan keadaan ekonomi domestik terus kekal rancak dengan banyak petunjuk memaparkan aliran yang sihat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim , berkata bagi menyokong momentum pertumbuhan domestik, kerajaan akan mengekalkan dasar fiskal responsif selain mempercepat pelaksanaan projek serta merealisasikan pelaburan yang diluluskan.

Katanya yang juga Menteri Kewangan, dalam keadaan pasaran global yang mencabar, ekonomi Malaysia sebaliknya mampu berdaya tahan dan menganjak pertumbuhan.

“Kadar inflasi turun daripada 2.8 peratus pada Mei 2023 kepada 2.4 peratus pada Jun 2023 manakala pengangguran berjaya mencatat kadar terendah pasca pandemik iaitu 3.4 peratus pada Jun 2023 berbanding 3.5 peratus dalam bulan sebelumnya,” kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) di sini, hari ini.

Menurut kementerian itu, inflasi domestik Malaysia pada Jun 2023 juga adalah rendah berbanding sesetengah ekonomi maju dan serantau lain seperti United Kingdom (7.9 peratus), Filipina (5.4 peratus), Singapura (4.5 peratus), Indonesia (3.5 peratus) serta Amerika Syarikat (3 peratus).

Permintaan domestik pula kekal memberangsangkan dan menyokong ekonomi Malaysia pada suku kedua 2023 dalam persekitaran dagangan global yang tepu.

KDNK suku kedua 2023 turut berkembang sebanyak 2.9 peratus dan menjadikan pertumbuhan ekonomi pada separuh pertama tahun ini kepada 4.2 peratus dan sejajar dengan unjuran kerajaan 4.0-5.0 peratus bagi keseluruhan 2023, kata MOF.

Malah, permintaan domestik kekal ampuh pada suku kedua 2023 dengan mencatat peningkatan sebanyak 4.5 peratus manakala jumlah perdagangan luar Malaysia menguncup 11.3 peratus kepada RM643.4 bilion bagi tempoh itu.

“Perbelanjaan awam dan swasta menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi dengan kedua-dua sektor tersebut masing-masing meningkat sebanyak 4.6 peratus dan 4.5 peratus.

“Dari sudut penawaran, perkembangan ekonomi Malaysia pada suku kedua 2023 ini disokong oleh peningkatan dalam sektor pembinaan, perkhidmatan dan pembuatan.

“Sektor pembinaan mencatat kadar pertumbuhan tertinggi sebanyak 6.2 peratus diikuti dengan sektor perkhidmatan (4.7 peratus) dan sektor pembuatan (0.1 peratus),” katanya.

Selain itu, MOF berkata permintaan luaran bagi tempoh separuh kedua 2023 dijangka terus terkesan akibat ketidaktentuan global.

Menurutnya, ini termasuk ketegangan situasi politik, gangguan dalam rantai bekalan yang berterusan, dasar monetari yang ketat untuk meredakan inflasi global serta prospek pertumbuhan ekonomi-ekonomi utama dengan kebanyakannya adalah rakan dagang Malaysia.

Dalam pada itu, MOF berkata sejajar dengan kerangka Ekonomi MADANI, kertas-kertas dasar iaitu Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 dan Belanjawan 2024 akan memperhalusi strategi-strategi serta langkah-langkah menstruktur semula ekonomi Malaysia serta menjamin pembangunan inklusif untuk rakyat.

“Aspek tumpuan adalah seperti menambah baik proses mengendalikan perniagaan, membawa pelaburan-pelaburan berkualiti bagi menjana pekerjaan berpendapatan lebih tinggi, memastikan tata kelola baik, memperkukuh perkhidmatan awam berkualiti serta prasarana lebih baik bagi meningkatkan mutu kehidupan rakyat,” katanya

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com