616
KENYATAAN MEDIA
PERTIMBANGKAN SEMULA PEMBUKAAN SESI PERSEKOLAHAN DALAM TEMPOH PKPB
14 Januari 2021 (Khamis)
- Merujuk laporan harian penularan COVID19 dari sumber Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Muda dan juga Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, Mukim Sg Petani diantara salah satu daripada 16 mukim dalam Daerah Kuala Muda berada dalam zon merah sejak 5 Januari lalu mencatatkan bilangan kes positif harian yang masih belum menurun. Penularannya kini semakin berserakan ke setiap lokasi bukan sahaja di kampung-kampung bahkan termasuk juga di taman-taman Perumahan.
- Saya turut meneliti jumlah kes di dalam Daerah Kuala Muda secara dekat, Mukim Sg Petani yang pada awalnya zon oren dengan jumlah 40 kes pada 4 Januari, telah bertukar menjadi zon merah pada 5 Januari apabila mencatatkan 51 kes dan terkini setakat 13 Januari telah dilaporkan 171 kes. Peningkatan sebanyak 120 kes dalam tempoh kira-kira seminggu ini amatlah membimbangkan apatah lagi bila sekolah akan dibuka nanti.
- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pula telah mengumumkan tarikh permulaan sesi persekolahan adalah pada 20 Januari ini bagi kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) walaupun tempoh PKPB itu sendiri khususnya bagi Negeri Kedah akan berakhir pada 26 Januari 2021.
- Kita memahami matlamat utama perlaksanaan PKPB dalam tempoh 14 hari adalah bertujuan untuk mengekang penularan Covid-19. Namun membenarkan sesi persekolahan bermula seminggu lebih awal sebelum tempoh PKPB tamat ini dilihat sangat kontradik dengan matlamat PKPB secara prinsip dan dasarnya.
- Pengumuman ini mengundang kebimbangan yang sangat berasas kerana pembukaan awal persekolahan melibatkan pergerakan yang sangat ketara bukan hanya proses pergi dan balik sekolah para pelajar yang menggunakan pelbagai pengangkutan termasuklah para ibubapa yang menghantar anak-anak, urusan pendaftaran, serta urusan-urusan lain yang terkait dengan persekolahan sukar untuk dikawal meskipun ada prosedur operasi standard (SOP) yang mesti diikuti. Harus difikirkan juga ragam anak-anak Tahun 1 yang baru memasuki alam persekolahan yang memerlukan sentuhan dan perhatian khusus.
- Kita harus mengambil iktibar akhir-akhir ini apabila peningkatan kes positif Covid-19 yang tinggi berpunca dari perjalanan individu-individu dari zon merah melalui pertemuan atau perjumpaan yang akhirnya menjadi kontak rapat yang meningkatkan kes positif Covid-19. Situasi seperti ini hampir pasti akan berlaku jika berlaku pembukaan persekolahan pada 20 Januari ini.
- Justeru, demi kemaslahatan rakyat keseluruhan khususnya anak-anak kita yang akan bersekolah saya pohon agar Kementerian Pendidikan Malaysia mempertimbangkan semula keputusan agar pembukaan sesi persekolahan sewajarnya haruslah bermula selepas selesai perlaksanaan PKPB iaitu pada 26 Januari nanti.
Nor Azrina Surip @ Nurin Aina
Ahli Parlimen Merbok