NOTIS UMUM PENGGUNAAN LOGO KDA FC
Tarikh: 26 Februari 2021
Untuk makluman, Kedah Darul Aman Football Club (KDA FC) telah diperbadankan pada 24 September 2020 yang diuruskan sepenuhnya oleh syarikat Darul Aman Football Club Sdn. Bhd. dengan nombor pendaftaran syarikat (202001029804 (1 386124-H)).
Logo KDA FC yang telah dipilih telah diumumkan oleh YAB Haji Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah Darul Aman merangkap Presiden KFA pada 16 Disember lepas di Wisma Darul Aman.
Logo KDA FC yang dipilih adalah hasil rekaan oleh Ku Basri Ku Halim, pereka grafik berasal dari Pendang, Kedah setelah melalui proses pemilihan yang diputuskan oleh Lembaga Pengarah KDA FC.
Logo ini dipilih berdasarkan elemen tradisi bola sepak Kedah dan nilai sentimental yang tinggi serta mendapat maklumbalas positif dari semua pihak berkepentingan. Selain itu warna tradisi seperti hijau, kuning dan merah dikekalkan bagi memberi isyarat kukuh warna tradisi negeri Kedah.
Pihak pengurusan juga menerima beberapa maklumbalas awam mengenai penggunaan logo KDA FC dan mendapati beberapa versi logo yang tidak tepat dan berbeza kerana pihak pengurusan KDA FC telah memutuskan beberapa pindaan minima dilakukan dari rekaan asal bagi kesesuaian kelab untuk kegunaan rasmi selepas ini.
Pihak pengurusan KDA FC juga telah mendaftarkan logo ini sebagai hakmilik dan tanda dagang KDA FC di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MylPO) dan sebarang penggunaan tanda dagang KDA FC tanpa kebenaran bagi tujuan komersial adalah tertakluk kepada perlanggaran hakcipta dan tindakan undang-undang kelak.
Pihak pengurusan KDA FC telah melakukan pemantauan secara dekat berkenaan penjualan merchandise menggunakan logo KDA FC tanpa kebenaran, penggunaan logo di bahan bercetak bagi tujuan komersial tanpa kebenaran serta pelbagai lagi kesalahan dibawah Akta Hak Cipta 1987.
Perlindungan hak cipta tanda dagang KDA FC adalah terpelihara.
KDA FC amat menghargai dan merakamkan ucapan terima kasih kepada semua ejensi media cetak, media sosial dan stesen televisyen yang menggunakan logo sebenar bagi mewakili kelab dalam liputan yang dihebahkan.
Justeru, pihak KDA FC mengalu-alukan sebarang tawaran kerjasama dalam situasi menang-menang untuk mana-mana pihak bergabung dengan jenama KDA FC melalui kaedah penajaan, penarafan rakan rasmi, sistem francais dan sebagainya untuk memelihara nilai komersial yang tinggi bagi sebuah kelab yang besar seperti KDA FC.