Penaung dan juga pemilik saham terbesar Kedah Darul Aman (KDA) FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar mahu pasukannya menunjukkan kebijaksanaan dan kemampuan sebenar menentang pasukan pelawat PJ City dan JDT di Stadium Darul Aman.
Perlawanan pada 1 Oktober dan 4 Oktober depan penting buat KDA FC dalam usaha untuk terus memberikan saingan merebut kelompok tiga teratas terbaik Liga Super 2022.
“Sokongan penuh para penyokong di Stadium Darul Aman pasti mengamit aura kehebatan Sang Kenari. Saya teringat ungkapan Rocky Balboa kepada anaknya,
“Dalam perlawanan (tinju) tidak penting mana berapa teruk kamu ditumbuk, tetapi bagaimana kamu bangun semula selepas jatuh ditumbuk,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau yang kini berada di Brisbane, Australia berkata, jatuh dan gagal dalam kehidupan adalah biasa.
“Bangun semula daripada kegagalan adalah luarbiasa. Kami perlukan sokongan anda semua penyokong Kedah yang luar biasa untuk kami bangkit semula,” ujar Mohd Daud.