Mereka kemudiannya ditahan dan dibawa ke Pejabat Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut. – FOTO MARITIM
ALOR SETAR, 30 Mac – Empat lelaki dan tiga wanita disyaki Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Myanmar telah ditahan dalam satu pemeriksaan yang dilakukan ke atas sebuah feri penumpang di kedudukan 1.08 batu nautika barat daya muara Kuala Kedah pada pukul 9.45 pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti binti Ishak berkata, hasil maklumat risikan, mereka didapati menaiki feri penumpang terbabit dalam perjalanan dari Pulau Langkawi menuju ke Kuala Kedah tanpa membawa dokumen pengenalan diri yang sah.
Ketika pemeriksaan dilakukan ke atas feri berkenaan, anggota penguat kuasa mendapati mereka hanya memiliki salinan surat permohonan United Nations High Commission for Refugees (UNHCR) yang meragukan memandangkan permohonan pemilikan kad terbabit telah dihentikan.
Berikutan itu, kesemua PATI terbabit disyaki telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih dari RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-dua sekali dan sebat tidak lebih dari enam kali sebatan, jika disabit kesalahan.
Mereka kemudiannya ditahan dan dibawa ke Pejabat Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut.
Pihak Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan orang ramai bagi melaporkan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut melalui saluran talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.