Thursday, 2, May, 2024
Utama Nasional Akibat jual diesel tanpa lesen, peniaga didenda RM120,000

Akibat jual diesel tanpa lesen, peniaga didenda RM120,000

oleh Ammar Haziq
Lim Soon Ping diiringi pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup di Mahkamah Sesyen Sungai Petani pada Isnin.

SUNGAI PETANI – Seorang peniaga didenda RM120,000 oleh Mahkamah Sesyen Sungai Petani pada Isnin selepas mengaku bersalah menjalankan perniagaan diesel tanpa kebenaran pada bulan lalu.

Mahkamah menjatuhkan hukuman tersebut kepada Lim Soon Ping, 41 selepas membuat pengakuan sebaik pertuduhan dibacakan jurubaha dalam bahasa Hokkien di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Tertuduh mengaku salah bahawa dalam kawalannya terdapat barang kawalan sebanyak 28,000 liter minyak diesel dalam dua buah lori tangki.

Jika gagal bayar, mahkamah mengarahkan tertuduh dihukum penjara selama enam bulan manakala hasil jualan diesel yang dirampas bernilai RM60,200 dan dua buah lori diserah dan dilucut hak kepada kerajaan.

Berdasarkan pertuduhan, perbuatan itu telah menimbulkan syak munasabah bahawa satu kesalahan akan dilakukan iaitu berniaga dengan cara jual runcit atau borong barang berjadual iaitu minyak diesel tanpa suatu lesen yang sah.

Dia dituduh melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang merupakan satu kesalahan bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum bawah Seksyen 22(1) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan mengikut peraturan tersebut, boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh bersama tiga warga Myammar, Than Win Htun, Mg Win Thein dan Win Ko Naing berusia antara 30-an hingga 40-an dituduh bersama-sama pada 10 April lalu lebih kurang jam 1.20 pagi di Kawasan Perusahaan Sungai Lalang.

Namun, tiga warga Myammar tersebut mengaku tidak bersalah dan mereka minta untuk dibicarakan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 5 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Muhammad Nizam Amir.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com